KOTA BHARU (15 Januari 2019) – Kerajaan Kelantan melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) hari ini menandatangani perjanjian kerjasama pendidikan dengan Universiti Ez-zitouna, Tunisia dalam usaha menyemarakkan ilmu di negeri ‘Serambi Mekah’ itu.

 

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, perjanjian itu membabitkan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), YIK dan Pusat Pengajian Pondok Kandis.

Katanya, ia bertujuan membolehkan pelajar dari ketiga-tiga pusat pengajian terbabit menyambung pengajian mereka di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan PhD di pusat pengajian Islam tertua di dunia.

Selain itu katanya, ia juga dapat mempertingkatkan jaringan kerjasama akademik di peringkat antarabangsa melalui penyelidikan dan penerbitan, program pertukaran pensyarah dan pelajar.

“Sebagai permulaan seramai 19 orang pelajar akan melanjutkan pelajaran di bidang pengajian Islam di universiti itu, mulai Jun ini. Mereka terdiri daripada pelajar lulusan peringkat diploma dan akan menyiapkan pengajian di peringkat ijazah sarjana selama dua tahun. Mereka juga boleh menyambung pengajian hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD) di universiti yang sama,” katanya pada sidang media selepas majlis perjanjian kerjasama akademik di sini hari ini.
 

Ez-zitouna diwakili rektornya Dr Hisyam Qarisah.

"Sebelum ini, kita bertumpu kepada universiti di Jordan, Yaman dan Mesir tetapi dengan kerjasama yang dimeterai hari ini, ia memberi lebih pilihan kepada pelajar," katanya. - BERNAMA