Jurnal KIAS
 
 
 JURNAL BILANGAN IX : MUHARRAM 1436H/NOVEMBER 2014M
 

 TAJUK : PENGLIBATAN WANITA DALAM BIDANG PEKERJAAN
               Oleh : 
Fatimah binti Ali

 

ABSTRAK :

Artikel ini bertujuan melihat sejauh mana peluang pekerjaan yang diberikan kepada kaum wanita dalam pelbagai masyarakat; pada zaman Rasulullah SAW, di kalangan masyarakat Barat (sebelum revolusi industri dan selepasnya) dan di kalangan masyarakat Melayu dahulu dan sekarang. Ia juga turut berbincang mengenai komitmen wanita bekerja terhadap tugas domestik dan sokongan yang diperolehi oleh wanita bekerja dalam mengurus rumah tangga mereka.

 


PENGENALAN

 

Penulisan ini menghuraikan contoh penglibatan wanita dalam pekerjaan di luar rumah. Kegiatan-kegiatan wanita pada zaman Nabi Muhammad, aktiviti wanita Barat juga turut dibincang untuk membandingkannya dengan pekerjaan wanita Melayu.

 

Wanita Malaysia bukan sahaja aktif dalam mengurus rumah tangga dan tugas-tugas domestik, tetapi juga melakukan pekerjaan di luar rumah. Menurut Dr. Zaleha Kamaruddin hampir 50 peratus penduduk Malaysia terdiri daripada kaum wanita yang memonopoli kejayaan dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan dan pekerjaan[1].

 

PENGLIBATAN WANITA ZAMAN RASULULLAH DALAM PEKERJAAN

 

Antara para pengkaji yang membincang tentang penglibatan wanita zaman Rasulullah dalam pekerjaan wanita ialah ‘Abd al-Rabb (1986), Faisal (1993), Tahia (2001) dan lain-lain. ‘Abd al-Rabb (1986)[2] menyimpulkan enam bidang yang diceburi oleh kaum wanita pada zaman Rasulullah SAW. Bidang-bidang tersebut ialah dakwah, keilmuan, urusan rumahtangga, jihad dan peperangan, pertukangan tangan dan urusan kemasyarakatan[3].

 

  1. Bidang Dakwah

 

Wanita pada zaman awal Islam memainkan peranan penting dalam bidang dakwah, antara mereka ialah Khadijah binti Khuwailid isteri Rasulullah SAW. Beliau adalah manusia pertama beriman kepada Allah, tampil membuktikan kebenaran Rasulullah serta membelanjakan harta bendanya untuk mempertahankan Rasulullah dan dakwahnya.

 

            Ruqaiyah, anak perempuan Rasulullah juga adalah antara orang yang paling awal musafir dari Madinah ke Habsyah. Beliau mengetuai sekumpulan wanita Islam. Manakala Asma’ binti Abu Bakr pula memasak bekalan musafir untuk Rasulullah. Di samping itu kaum wanita pada masa Rasulullah juga bersumpah setia (mubaya‘ah) dengan Rasulullah SAW. Mereka juga menziarahi Rasulullah ketika baginda sedang sakit.

 

Mengenai sumpah setia mereka dengan Rasulullah, Allah berfirman:

 

$pkš‰r'¯»tƒ ÓÉ<¨Z9$# #sŒÎ) x8uä!%y` àM»oYÏB÷sßJø9$# y7uZ÷è΃$t7ム#’n?tã br& žw šÆø.Ύô³ç„ «!$$Î/ $\«ø‹x© Ÿwur z`ø%Ύô£tƒ Ÿwur tûüÏR÷“tƒ Ÿwur z`ù=çFø)tƒ £`èdy‰»s9÷rr& Ÿwur tûüÏ?ù'tƒ 9`»tFôgç6Î/ ¼çmuZƒÎŽtIøÿtƒ tû÷üt/ £`Ík‰Ï‰÷ƒr&  ÆÎgÎ=ã_ö‘r&ur Ÿwur šoYŠÅÁ÷ètƒ ’Îû 7$râ÷êtB   £`ßg÷è΃$t6sù öÏÿøótGó™$#ur £`çlm; ©!$# ( ¨bÎ) ©!$# ֑qàÿxî ×LìÏm§‘ ÇÊËÈ

 

Maksudnya: “Wahai Nabi, apabila orang-orang perempuan yang beriman datang kepadamu untuk memberikan pengakuan taat setia bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah dengan sesuatupun, mereka tidak akan mencuri, mereka tidak akan berzina, mereka tidak akan membunuh anak-anaknya, mereka tidak akan melakukan dusta yang mereka adakan dari kemahuan mereka sendiri dan mereka tidak akan durhaka kepadamu dalam melakukan perkara-perkara yang baik, maka terimalah pengakuan taat setia mereka dan pohonkanlah kepada Allah mengampunkan dosa mereka. Sesungguhnya Allah amat mengampun lagi amat mengasihani”.

Al-Mumtahanah (60): 12

 

  1. Bidang Keilmuan

 

Wanita pada zaman awal Islam juga tidak pernah melepaskan peluang dalam bidang keilmuan. Mereka berusaha untuk memahami agama dengan menghadiri majlis-majlis ilmu sehingga lahir di kalangan mereka para ulama yang terkenal dalam berbagai-bagai bidang[4].

 

            ‘A’isyah RA, isteri Rasulullah SAW umpamanya, menjadi tempat para sahabat yang terkenal untuk bertanya tentang hukum hakam. Beliau juga terkenal dalam bidang sastera. Beliau banyak menghafal syair, mengarang qasidah dan pandai membaca al-Quran. Beliau juga terkenal sebagai seorang pemimpin wanita.

 

  1. Bidang Urusan Rumahtangga

 

Wanita pada zaman awal Islam juga adalah suri rumahtangga. Mereka menjadi ikutan atau idola kepada suri-suri rumah generasi kemudian. Mereka seolah-olah tuan kepada para lelaki yang dipilih oleh Allah untuk menjadi pejuang-pejuang hidayah dan perdamaian.

 

            Cerita yang dipetik oleh ‘Abd al-Rabb menggambarkan wanita-wanita pada masa Rasulullah melakukan kegiatan dan kerja-kerja rumah dengan tangan mereka sendiri termasuk mengisar tepung, membakar roti dan sebagainya.[5]

 

  1. Bidang Jihad dan Peperangan

 

Zaman Rasulullah SAW adalah zaman jihad dan peperangan untuk menyebarkan agama Allah ke seluruh pelusuk bumi bagi membebaskan manusia daripada pengabdian diri kepada sesama manusia kepada pengabdian diri kepada Allah. Oleh itu, ramai wanita yang menonjol dalam bidang ini.

 

            Sebaliknya peperangan bukanlah kewajipan wanita sebagaimana wajibnya kaum lelaki, kecuali pada waktu-waktu kekurangan tenaga lelaki yang memerlukan penyertaan mereka. Rasulullah sendiri pernah menjelaskan iaitu jihad wanita ialah ibadat haji bukannya peperangan.

 

            Walau bagaimanapun Rasululah SAW sendiri biasanya membawa sebahagian daripada isteri-isterinya ke medan peperangan. Wanita-wanita Islam yang lain juga turut keluar bukan untuk berperang, tetapi untuk melaksanakan kerja-kerja yang sesuai dengan mereka seperti menyediakan makanan, merawat orang-orang yang luka dan yang sakit.[6]

 

  1. Bidang Perdagangan dan Pertukangan Tangan

 

Buku-buku sejarah merakamkan peristiwa Sayyidah Khadijah RA isteri Rasulullah yang sentiasa menjalankan perniagaannya. Beliau mengupah kafilah-kafilah atau rombongan-rombongan perdagangan yang terdiri daripada lelaki untuk menjalankan urusan perniagaannya.

 

            Khadijah pernah mengupah Nabi Muhammad menjalankan perniagaanya. Beliau diberitahu tentang peribadi baginda iaitu seorang yang bercakap benar, amanah dan berakhlak mulia. Oleh itu, beliau menghantar utusan untuk menawarkan pekerjaan kepada baginda, iaitu membawa hartanya berniaga ke Syam. Maka Rasulullah SAW menerima tawaran tersebut dan pergi ke Syam bersama khadam lelaki Khadijah iaitu Maisarah. Di samping itu, wanita-wanita pada zaman Rasulullah juga ada yang berkecimpung dalam bidang pertukangan tangan.

 

            ‘A’isyah menceritakan bahawa sebahagian daripada isteri nabi Muhammad SAW pernah bertanya kepada nabi tentang siapakah dari kalangan isterinya yang paling awal menurut jejak nabi (meninggal dunia selepas nabi). Lalu nabi memberitahu mereka bahawa orang yang paling awal mengikut nabi ialah yang paling panjang tangannya. Berikutan kenyataan tersebut para isteri nabi Muhammad SAW berkumpul di rumah salah seorang daripada mereka selepas kewafatan nabi. Mereka menghulurkan tangan ke dinding, berlumba-lumba memanjangkan tangan.

 

            Mereka sering melakukan perbuatan tersebut sehingga Zainab bin Jahsy meninggal dunia. Beliau adalah seorang perempuan yang berbadan rendah. Beliau bukanlah yang paling panjang tangannya berbanding dengan isteri-isteri nabi yang lain. Ketika itu baharulah mereka faham tentang maksud panjang tangan yang disebut oleh nabi ialah bersedekah. Ini kerana Zainab adalah seorang yang mahir dalam pertukangan tangan. Beliau menyamak dan menjahit kulit binatang untuk disedekahkan pada jalan Allah.[7]

 

  1. Bidang Sosial

 

Masyarakat yang dibentuk oleh Rasulullah SAW adalah sebuah masyarakat yang hidup saling membantu dan berkasih sayang antara satu sama lain. Setiap individunya lebih mengutamakan individu yang lain dalam segala urusan. Kaum wanitanya juga melakukan pelbagai aktiviti di dalam bidang sosial termasuk kerja-kerja meminang untuk perkahwinan, menziarahi pesakit, menyusukan anak-anak orang tawanan dan lain-lain lagi.

 

            Dalam urusan peminangan contohnya, Khawlah binti Hakim al-Sulamiyyah, isteri kepada ‘Uthman bin Maz‘un menawarkan khidmatnya untuk meminang perempuan kepada nabi setelah kewafatan Khadijah RA. Nabi memberikan persetujuannya sambil menyatakan bahawa kaum perempuanlah yang lebih sesuai untuk melakukan kerja seperti itu. Maka Khawlah meminang Saudah binti Zam`ah dan ‘A’isyah binti Abu Bakr untuk nabi. Lalu nabi mengahwini mereka berdua[8].

 

  1. Bidang Pertanian, Perusahaan dan Perniagaan

 

Faisal (1993) dalam kajiannya mendapati wanita pada zaman Rasulullah SAW melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kehidupan. Antara aspek yang disebut secara khusus oleh beliau ialah bidang pertanian, perusahaan dan perniagaan. Beliau menjelaskan wanita terlibat dalam bidang pertanian seperti menabur biji benih dan membawa balik hasil pertanian ke rumah untuk di simpan, memungut kayu api, mengangkut air dari perigi untuk minuman dan persediaan makanan keluarga mereka. Contoh wanita yang terlibat dalam lapangan pertanian ialah Asma’ binti Abu Bakr iaitu isteri kepada Zubair ibn al-‘Awwam, ipar Rasulullah. Manakala bidang perusahaan pula seperti membuat kerja kraf tangan yang halus tetapi perusahaan ini dilakukan di rumah sahaja[9].

 

Mengikut Faisal wanita zaman Rasulullah juga turut berniaga di Pasar Madinah dan di pasar-pasar lain. Aktiviti ini menyebabkan lahirnya tokoh-tokoh peniaganita yang masyhur dan berjaya seperti Umm al-Mundhir binti al-Qays perniaga tamar dan Asma’ binti Makhzamah peniaga minyak wangi[10].

 

  1. Bidang Domestik

 

Selain itu menurut Faisal lagi ada wanita mengambil upah atau mengupah menyusukan bayi dengan susu badan. Mengupah menyusukan bayi dengan susu badan dianggap sebagai pekerjaan yang lumrah terutama di kalangan bangsawan Arab pada zaman Rasulullah. Apabila anak dilahirkan, mereka akan mencari ibu susuan untuk menyusukan anak mereka dengan membayar upah mengikut kadar yang ditentukan pada masa itu[11].

 

Tahia al-Isma‘il (2001) menjelaskan bahawa sudah menjadi adat wanita-wanita bangsawan Arab mencari ibu susuan dari kawasan perkampungan yang mempunyai udara bersih untuk bayi-bayi mereka. Terdapat beberapa suku kaum yang tinggal di kawasan gurun terkenal sebagai ibu susuan. Antaranya ialah suku Bani Sa‘id. Rasulullah sendiri mempunyai seorang ibu susuan daripada suku Bani Sa‘id. Beliau ialah Halimah binti Abu Dhu’aib. Sementara menunggu kedatangan Halimah baginda disusukan oleh Thuwaybah iaitu hamba kepada Abu Jahal[12].

 

Inilah antara bidang-bidang pekerjaan yang diceburi oleh wanita-wanita pada zaman awal Islam. Ia meliputi pekerjaan-pekerjaan dalam dan luar rumah. Aktiviti-aktiviti dalam dan luar rumah yang dilakukan oleh wanita zaman awal Islam ini antara lain menjadi alasan yang kukuh bagi ulama yang berpendapat bahawa Islam tidak menghalang wanita keluar bekerja. Oleh itu para pengkaji tentang wanita Islam turut mengupas fakta-fakta sejarah wanita awal Islam, di samping menganalisis kedudukan wanita sebelum kedatangan Islam untuk dibandingkan dengan kedudukan wanita setelah kedatangan Islam. Penglibatan wanita zaman Rasulullah SAW dalam pelbagai aktiviti itu menunjukkan bahawa wanita juga dipertanggungjawabkan terhadap pekerjaan luar rumah di samping tugas sebagai pengurus rumah tangga.

 

 

PENGLIBATAN WANITA BARAT DALAM PEKERJAAN

 

Para pengkaji barat banyak berbincang mengenai status dan gaji wanita. Antaranya ialah Alice Clark (1919), Nye dan Lois (1963), Ray (1971), Iglehart (1979), Mitchel (1983).

 

Clark (1919)[13] memerhati tugas wanita dalam dan luar rumah. Beliau juga meneliti kecenderungan (trend) penyertaan wanita Britain dalam sektor pertanian, tenunan dan pertukangan serta lapangan lain dalam abad ke-17.

           

Dalam penyelidikan tersebut, beliau dapati bahawa peranan wanita dalam bidang ekonomi telah berubah disebabkan oleh wujudnya revolusi industri di mana aliran kapitalis telah mempengaruhi kesanggupan wanita dalam menghasilkan pengeluaran. Revolusi industri memberi kesan kepada peranan wanita dalam bidang pekerjaan dalam lapisan masyarakat yang berbeza.

 

Wanita yang hidup dalam masyarakat kapitalis atau kelas atasan sudah mempunyai prestij. Imej mereka bukan lagi seperti masyarakat pra-industri. Ketinggian imej mereka berbeza dengan wanita dalam masyarakat tani yang masih melarat. Walaupun mereka sudah berpeluang bekerja dan mendapat gaji tetapi gaji mereka terlalu rendah. Malah tidak cukup untuk dijadikan sebagai tambahan kepada gaji suami bagi menampung perbelanjaan kehidupan mereka anak beranak. Di samping itu, pekerjaan mereka mendatangkan implikasi yang tidak baik kerana produksi mereka tidak seberapa dan peranan keibuan mereka turut menurun.

           

Manakala dalam bidang perniagaan dan perusahaan tenunan pula, wanita hanya dapat menyumbangkan peranan mereka dalam pekerjaan menenun sahaja. Ini kerana kerja tersebut boleh dibuat di rumah dan mereka tidak perlu keluar. Ini memang sesuai bagi wanita yang tidak berpeluang untuk bekerja di kilang-kilang. Tetapi pendapatan daripada pekerjaan ini tidak seberapa. Di samping itu, bidang pertukangan dan perniagaan yang lain pula tidak memberi peluang kepada wanita kerana mereka kekurangan modal.

 

            Kesatuan sekerja juga tidak dapat membela nasib wanita yang tertindas. Ini kerana wanita sendiri tidak aktif dalam kesatuan atau koperasi tersebut. Dengan gaji rendah, mereka tidak berpeluang menceburkan diri dalam bidang perniagaan yang menguntungkan.

 

            Mitchel (1966)[14] seorang penulis Barat menghargai peranan wanita. Beliau berpendapat bahawa peranan wanita dalam hubungan kelamin suami isteri dan sosialisasi anak-anak merupakan sebesar-besar hasil sosial yang terpaksa dilakukan.

 

            Namun demikian, beliau beranggapan bahawa peluang penindasan kapitalis terhadap wanita sukar dihindarkan. Ini kerana penindasan terhadap wanita berlaku disebabkan oleh faktor sejarah. Kelebihan yang ada pada lelaki dianggap satu bentuk penindasan pertama terhadap wanita dalam masyarakat. Lelaki lebih istimewa daripada wanita sejak sebelum zaman kapitalis lagi. Manakala dalam sistem pengeluaran kapitalis pula keutamaan lelaki yang telah sedia wujud menjadi lebih kuat dan berakar umbi serta berkembang.

 

            Ini merupakan suatu fenomena sosial yang mempengaruhi arah perkembangan kapitalis, terutama dalam kewujudan pasaran gaji buruh. Ia membantu kewujudan diskriminasi antara lelaki dan wanita dalam pasaran buruh untuk memelihara asas keutamaan lelaki dalam keluarga.

 

            Pada pendapat penulis keutamaan yang ada pada lelaki bukanlah merupakan satu bentuk penindasan terhadap kaum wanita, sebagaimana yang dikatakan oleh Mitchel kerana keutamaan seperti itu penting untuk menjadikannya sebagai ketua keluarga. Tetapi penyalahgunaan keutamaan tersebut yang menjadi penindasan terhadap kaum wanita. Golongan kapitalis mengeksploitasi atau menyalahgunakan keutamaan tersebut untuk kepentingan mereka. Keutamaan lelaki boleh dijadikan sebagai titik tolak untuk kaum lelaki memelihara (melindungi) kaum wanita yang berada di bawah jagaan mereka, bukan untuk menindas.

 

Terdapat kajian mengenai pekerjaan wanita menjelaskan tentang perubahan pola-pola pekerjaan wanita di Eropah akibat sistem kapitalisme yang diamalkan di Perancis terutama antara kurun ke-16 hingga kurun ke-19.

 

            Shorter (1976)[15] menjelaskan, sebelum sistem kapitalis diamalkan, peranan wanita dalam ekonomi merupakan peranan sampingan, iaitu berkisar di sekitar pekerjaan domestik. Setelah sistem kapitalis diamalkan peranan wanita berubah. Beliau menjelaskan perkara yang berikut:

 

  1. Dalam masyarakat kapitalis dan pasaran ekonomi, pekerjaan wanita menghasilkan gaji. Wang gaji diperolehi atas nama mereka sendiri. Oleh itu sumbangan wanita kepada ekonomi rumahtangga jelas kelihatan. Gaji disimpan sebagai persediaan untuk digunakan ketika berlaku krisis bagi kuasa domestik.

 

            Hal tersebut berbeza dengan wanita yang bekerja tanpa gaji dalam masyarakat tradisional. Keadaan ini menyebabkan ada pengkaji beranggapan bahawa perkembangan industri telah menyamakan status wanita dengan lelaki. Ternyata anggapan tersebut tidak betul. Ini kerana banyak kes yang membuktikan bahawa walaupun wanita pada masa itu sama dengan lelaki dari segi pekerjaan, tetapi masih ramai wanita yang berada di tahap lama di dalam pekerjaan dengan menerima gaji yang lebih rendah berbanding dengan lelaki.

 

  1. Dalam masyarakat tradisional tidak berlaku isteri seorang petani enggan memerah susu lembu atau mengangkut rumput kering kerana hal tersebut menyalahi adat dan menimbulkan keaiban kepada keluarga. Mereka malu kepada jiran-jiran. Keadaan tersebut berbeza dengan kerja di luar rumah yang tidak diambil tahu oleh jiran. Malah wanita yang bekerja di luar rumah boleh berpiket.

 

            Pandangan di atas mungkin betul berlaku dalam masyarakat luar bandar. Tetapi sekarang hal tersebut telah berubah kerana wujudnya perubahan nilai. Wanita yang bekerja di dalam rumah dalam masyarakat sekarang juga dapat memulaukan kerja. Kebanyakan jiran dalam masyarakat moden, biasanya tidak ramai yang kenal mengenal antara satu sama lain. Oleh itu mereka tidak mengambil tahu apa yang berlaku dalam rumah jirannya. Perbezaan antara wanita dalam masyarakat moden bukan sahaja wujud antara wanita yang bekerja di dalam rumah atau di luar rumah, malah perbezaan turut wujud antara wanita yang sama-sama bekerja di dalam rumah.

 

  1. Dalam masyarakat tradisional, wanita tidak mempunyai kebebasan peribadi terutama kebebasan untuk bergaul dengan lelaki, sebaliknya wanita dalam masyarakat moden tidak dikongkong dan bebas bergaul dengan lelaki. Di sini terdapat perubahan nilai moral.

 

  1. Fahaman kapitalis telah mengubah status wanita yang berkahwin. Ia menyebabkan suami dan isteri mula berkongsi urusan rumahtangga kerana mereka melakukan pekerjaan yang sama di luar rumah.

 

            Tetapi Fatimah (1983)[16] tidak bersetuju dengan pendapat Shorter ini. Beliau menyatakan pandangan ini tidak tepat kerana hingga sekarang masih ramai suami yang tidak sanggup melakukan urusan rumahtangga dengan alasan ia adalah tugas isteri sebagai surirumah, walaupun isteri mereka juga bekerja. Jika ada suami yang melakukan tugas-tugas tersebut, ia bukanlah bertujuan untuk berkongsi urusan rumahtangga tetapi hanya sekadar membantu isteri sahaja.

 

Sistem kapitalis juga menyebabkan ramai wanita telah meninggalkan semua sekali kesenian domestik dan tidak sanggup lagi bekerja sebagai pencuci dan penampal pakaian. Sebaliknya, mereka mengambil peluang membuka perusahaan secara kecil-kecilan sehingga ramai di kalangan mereka yang tidak lagi mempunyai masa untuk memasak, sama ada mereka tidak sempat melakukannya semua sekali atau mengharapkan pertolongan suami.

 

            Selain itu, Marx (1930)[17] juga ada membincangkan mengenai peranan wanita. Beliau berpendapat bahawa pekerjaan wanita yang utama dalam sesebuah masyarakat adalah untuk tugasan domestik sahaja. Tenaga wanita mempunyai nilai yang tidak berubah kerana ia tidak boleh dijual di pasaran, hanya digunakan dalam keluarga sahaja.

 

            Perkara tersebut juga dijelaskan oleh para pengkaji lain yang menyatakan bahawa peranan wanita sebelum zaman industri cuma terhad kepada tugas-tugas domestik sahaja. Tetapi proses industri telah mengubah peranan wanita dalam bidang ekonomi bagi peringkat “perumahan” (industri yang diusahakan oleh keluarga). Dengan itu, peranan buruh wanita bertambah penting.

 

            Selain dari itu Engles (1961)[18] juga bersetuju dengan pendapat Marx dan para pengkaji lain. Beliau menyatakan “Within the family, the man is the bourgeosie and his wife the proletariat”. Semua pengkaji tersebut menganalisis kedudukan wanita dalam industri dengan berpandukan sejarah pekerjaan wanita.

 

            Williams (1945)[19] juga sependapat dengan Marx bahawa penggunaan jentera dalam industri telah meluaskan bidang pekerjaan wanita. Ini kerana mesin telah mengambil tempat penggunaan sumber tenaga manusia. Manusia hanya dikehendaki mengawasi mesin sahaja. Pada umumnya wanita tidak mampu membawa barang-barang berat seperti lelaki, tetapi mereka mampu mengendali butang mesin dengan baik. William berpendapat demikian kerana bilangan tenaga wanita yang digunakan dalam industri tradisional terlalu sedikit iaitu hanya satu pertiga sahaja daripada tenaga wanita kecuali ketika peperangan dunia apabila penyertaan wanita bertambah kerana kurangnya tenaga lelaki.

 

            Mengikut Fatimah (1983)[20] hasil penyelidikan yang dibuat di daerah Detroit pada tahun 1956 iaitu 60% daripada responden menyatakan bahawa pekerjaan luar rumah menimbulkan kesulitan dalam hubungan keluarga, menyakitkan hati suami atau mengganggu ketenteraman rumahtangga. Walau bagaimanapun, 66.66% daripada pekerja tersebut mengaku akan meneruskan pekerjaan luar rumah.

 

            Hal ini mungkin disebabkan oleh kedudukan ekonomi rumahtangga mereka memerlukan bantuan kewangan daripada isteri atau anak perempuan yang bekerja. Sebab itu mereka sanggup meneruskan kerja walaupun menimbulkan ketegangan dalam hubungan keluarga.

 

            Menurut Gales (1974)[21] terdapat statistik yang menunjukkan kadar penyertaan wanita dalam pekerjaan di luar rumah di Barat jauh berbeza sejak 30 tahun yang lalu. Statistik tersebut menunjukkan pengurangan penyertaan wanita dalam perkhidmatan domestik dan pertambahan penyertaan mereka dalam lapangan lain seperti perkeranian dan kesetiausahaan. Malah peratus wanita bekerja dalam tenaga buruh meningkat daripada (29.1%) pada tahun 1901 kepada (35.6%) dalam tahun 1966 (Department of Employment: 1971).

 

            Inilah contoh penglibatan wanita Barat dalam bidang pekerjaan. Sebelum revolusi industri lagi mereka telah terlibat dalam pekerjaan di luar rumah. Namun demikian wanita Barat juga menganggap mencari rezeki adalah tugas suami sebab itu pekerjaan suami diutamakan. Isteri sanggup memilih pekerjaan sambilan walaupun tanpa apa-apa keistimewaan. Mereka sanggup berhenti kerja jika berlaku perselisihan faham disebabkan pekerjaan mereka atau suami mereka bertukar tempat kerja. Ada juga yang berhenti kerja apabila anak-anak lahir dan bekerja semula setelah anak-anak mereka besar.

 

 

PENGLIBATAN WANITA MELAYU DALAM PEKERJAAN

 

Pekerjaan wanita mempunyai hubungan yang erat dengan pendidikan yang mereka perolehi; begitu juga dengan pandangan masyarakat terhadap pekerjaan wanita. Menurut Hussien Ahmad (1964)[22] pada zaman awal penjajahan orang-orang Melayu tidak begitu mengambil berat terhadap pendidikan wanita.

 

Erneza (1998) berpendapat dengan perubahan sosial yang berlaku terutama perkembangan pendidikan dan pertumbuhan ekonomi yang pesat telah mempelbagaikan peranan wanita Melayu. Penglibatan wanita dalam bidang ekonomi di luar lingkungan rumah tangga semakin jelas. Lokasi kerja wanita sudah berubah iaitu dari sawah, kebun dan dusun yang merupakan milik keluarga dan dalam lingkungan rumah tangga ke pejabat-pejabat kerajaan, swasta, kilang dan klinik yang jauh dari lingkungan rumah tangga[23].

 

PERSAINGAN DALAM BIDANG PEKERJAAN

 

Mengenai penglibatan wanita dalam pekerjaan, Khadijah (1969)[24] dalam kajiannya mendapati peluang wanita Melayu bersaing dengan kaum lelaki untuk mendapatkan pekerjaan di luar rumah telah bermula sejak kedatangan pengaruh Barat di Tanah Melayu lagi. Selepas berlakunya Revolusi Perusahaan di Barat, rumah tangga bukan lagi menjadi pusat yang penting bagi aktiviti pengeluaran dan wanita telah menjadi sebahagian besar dari kuasa buruh yang diperlukan dalam bidang pekerjaan.

 

Wanita Melayu yang tamat sekolah dan universiti juga terdorong untuk mencari pekerjaan yang sesuai, setimpal dengan kelulusan dan pengalaman mereka. Implikasi yang dapat dilihat ialah ramai wanita Melayu masa kini menjawat pelbagai jawatan. Di samping itu mereka masih memegang berbagai-bagai peranan dalam rumah tangga iaitu sebagai isteri, seorang ibu dan pekerja[25].

 

Walaupun persaingan dalam pekerjaan antara lelaki dan wanita Melayu telah berlaku sejak akhir 1960han, namun Wazir Jahan (1988) menjelaskan kebanyakan wanita masih memilih profesion yang sesuai dengan peranan dan fungsi seorang wanita seperti guru, jururawat, setiausaha dan lain-lain. Menurutnya golongan lelaki menggunakan isu ini sebagai satu petunjuk bahawa wanita suka memilih pekerjaan yang mudah dan ringan yang tidak memerlukan kemahiran teknikal serta mental yang luar biasa[26].

 

            Jamilah (1992) sependapat dengan Wazir Jahan tentang kecenderungan kebanyakan wanita dalam memilih pekerjaan yang berbentuk ‘feminin’. Beliau menjelaskan walaupun wanita mula memasuki bidang profesional, namun kebanyakan mereka tertumpu dalam bidang pendidikan dan kesihatan. Penyertaan wanita dalam bidang ekonomi tidak banyak berubah. Pemilihan pekerjaan wanita masih berbentuk ‘feminin’ walaupun dalam bidang yang dianggap profesional[27].

 

            Para pengkaji barat juga turut memberi pendapat mengenai faktor kurangnya wanita Melayu terlibat dalam bidang profesional. Antara mereka ialah Fogarty (1971). Menurut Fogarty, antara faktor penolak yang menghalang wanita menceburi bidang profesional ialah tempoh latihan kursus yang terlalu panjang. Faktor masa ini menyebabkan wanita yang menceburkan diri dalam bidang ini berkahwin pada usia yang lewat.

 

Fenomena berkahwin lambat kurang di sukai masyarakat Melayu kerana stigma “anak dara tua” adalah sesuatu yang tidak digemari oleh ibu bapa dan anak-anak gadis. Di samping itu bidang profesional juga mempunyai beban kerja yang terlampau besar dan ini menyukarkan wanita untuk menggabungkan tugas kerjaya dengan tanggung jawab rumah tangga[28].

KONFLIK PERANAN

 

Bekerja di luar, sama ada profesional atau tidak, kedua-duanya bererti menduakan peranan iaitu antara kerjaya dan pekerjaan domestik. Penduaan peranan ini memungkinkan berlakunya konflik peranan.

 

            Menurut Khadijah (1969) terdapat sebilangan wanita Melayu yang berhenti bekerja setelah mereka berkahwin atau mendapat anak yang pertama. Tetapi tidak kurang juga bilangan wanita yang terus bekerja. Namun kesannya mereka sering menghadapi pelbagai masalah dan konflik peranan berhubung dengan penggabungan berbagai-bagai peranan sebagai seorang isteri, ibu dan pekerja.

 

            Masalah konflik peranan di kalangan wanita Melayu dan pekerjaan telah mendapat perhatian ramai dari pengkaji-pengkaji termasuk pengkaji tempatan. Mereka telah meneliti beberapa aspek yang berkaitan dengan peranan tradisional wanita Melayu yang berperanan sebagai isteri, ibu, pekerja dan pengurus dalam rumah tangga serta peranan baru wanita sebagai pekerja di pelbagai organisasi.

 

Fatimah Daud (1983) dalam kajiannya mendapati beban isteri bertambah dengan wujudnya kilang-kilang. Ini kerana anak-anak gadis yang dahulunya sanggup menjaga adik-adik mereka atau mengambil upah melakukan pekerjaan domestik sudah menukar haluan untuk bekerja di kilang. Ini kerana kerja di kilang hanya melibatkan waktu tertentu bukan seperti kerja domestik yang perlu berurusan sepanjang waktu. Fenomena ini menyebabkan isteri-isteri susah untuk mendapatkan pembantu rumah[29].

 

            Penulis memerhatikan kesan seperti itu masih terasa dalam masyarakat kini. Anak-anak gadis lebih mengutamakan kerja di pejabat atau di kilang-kilang. Kerja sedemikian selain dari mempunyai masa yang tertentu juga boleh memberikan mereka kebebasan berbanding dengan kerja sebagai pembantu rumah. Inilah antara implikasi industri terhadap peranan wanita.

 

Bagaimanapun kesukaran mendapatkan pembantu rumah daripada kalangan pekerja wanita tempatan dapat diatasi dengan mengimport pembantu rumah dari negara jiran seperti indonesia, Thailand dan Philipina. Pengambilan pembantu boleh dilakukan melalui agen-agen yang bertujuan demikian. Tetapi penggunaan pembantu dari luar ini bukan sahaja memerlukan peruntukan yang lebih banyak tetapi juga terdedah kepada pelbagai perkara negatif.

 

Namun ada juga kecenderungan ibu-ibu yang bekerja untuk membawa anak ke tempat kerja terutama yang kecil supaya mudah disusukan. Tetapi ia tidak dapat dilakukan kerana kongkongan struktur formal di tempat kerja. Mengikut Mazidah (1980) struktur formal yang didapati di tempat kerja telah banyak mengongkol wanita yang bekerja. Wanita Melayu yang bekerja terpaksa mematuhi beberapa peraturan seperti masa bekerja yang ditetapkan, tidak boleh membawa anak-anak sesuka hati ketika berada di tempat kerja dan mereka terikat dengan peraturan-peraturan lain yang ditetapkan oleh majikan mereka[30].

 

            Oleh itu wanita Melayu juga menghadapi masalah dari segi penjagaan anak. Strange (1981) memberi alasan bahawa kebanyakan wanita Melayu yang bekerja tinggal di bandar-bandar yang jauh dari kaum keluarga. Jika dahulu wanita yang bekerja boleh mengharapkan pertolongan daripada saudara mara untuk menjaga anak-anak dan mengendalikan urusan rumah tangga mereka, tetapi perubahan telah berlaku di mana wanita yang bekerja dan tinggal di bandar menghadapi masalah pemencilan sosial.

 

            Wanita yang bekerja terpisah dari bentuk keselamatan dan penjagaan sosial yang ada dalam kehidupan di kampung dan boleh didapati pada masa kecemasan. Pertolongan tersebut diberikan oleh saudara mara dan jiran tetangga. Oleh yang demikian mereka terpaksa membayar kepada orang lain bagi mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan[31].

 

            Kajian Mohd Nor (1996) menyebutkan bahawa pertolongan dari agen-agen lain seperti pembantu rumah, jiran, saudara mara dan institusi lain untuk menjaga anak semasa mereka bekerja memberi dorongan dan galakan kepada mereka untuk terus bekerja di luar rumah. Selain itu penyusunan semula peranan menguruskan rumah tangga seperti suami turut sama meringankan tanggungjawab domestik juga membantu meringankan konflik peranan di kalangan isteri-isteri yang bekerja[32].

 

            Aminah (1995) dalam kajiannya mendapati konflik peranan juga berlaku di antara peranan kerjaya dan keluarga bagi wanita yang bekerja dan berkahwin. Namun begitu dengan adanya alternatif dan strategi pengurusan mereka dapat mengatasi konflik peranan yang dihadapi. Menurut beliau wanita profesional yang bekerja juga sering mengalami konflik peranan di antara peranan kerjaya dan keluarga dengan intensiti yang berbeza dalam usaha memenuhi tuntutan daripada setiap peranan tersebut. Mereka mengurangkan konflik peranan dengan menggunakan beberapa strategi reaktif serta mengubah sikap, pandangan dan persepsi diri mereka terhadap tuntutan-tuntutan peranan yang dialaminya[33].

 

Fatimah Abdullah (1994) mengatakan bahawa isteri yang bekerja tidak menghadapi konflik dalam erti kata dia perlu memenuhi peranan tradisi sebagaimana yang diharapkan oleh masyarakat. Ini kerana dia bukan sahaja dapat keluar dan menceburkan diri dalam pelbagai profesyen malah tidak terikat dengan tugas domestik. Ini mungkin kerana persepsi masyarakat yang dikaji oleh Fatimah Abdullah tentang peranan domestik telah berubah. Wanita dan suaminya sudah boleh berkongsi tugas domestik dan menganggapnya sebagai tugas bersama[34]. Ini kerana isteri juga bekerja dan turut menyara keluarga.

 

            Namun sebagai pekerja wanita Muslim, mereka perlu memastikan pengurusan rumah tangga berjalan lancar. Oleh itu berikut di bincang kajian mengenai tugas-tugas domestik wanita Melayu seperti membeli belah, memasak, mencuci pakaian dan lain-lain.

 

 

TUGAS DOMESTIK

 

Terdapat pengkaji Barat yang turut sama menyelidik mengenai tugas membeli belah di kalangan orang Melayu. Antara mereka ialah Swift (1960) dan Roose (1963).

 

Swift (1960) menyebut bahawa wanita Melayu pada masa dahulu tidak biasa melakukan tugas membeli belah. Ini adalah kerana kuasa dari segi kewangan dipegang oleh suami. Lebih dari itu wanita tidak dibenarkan keluar dari rumah untuk membeli belah kerana aktiviti ini mendedahkan kaum wanita kepada kontak dengan orang ramai[35].

 

            Roose (1963) pula menambah bahawa tanggung jawab membeli belah bahan-bahan makanan dan pakaian untuk famili adalah hak suami. Isteri hanya diminta memberi pendapat mengenai barang-barang yang diperlukan oleh famili. Sungguhpun begitu dia tidak mempunyai hak untuk menolak atau mengkritik keputusan yang dibuat oleh suami[36].

 

            Kedua-dua tulisan ini menunjukkan bahawa tugas membeli belah merupakan peranan suami. Peranan ini bukan sahaja disebabkan oleh kurangnya kebebasan wanita untuk keluar rumah tetapi juga kerana kuasa dari segi kewangan dipegang oleh suami.

 

Kemungkinan kajian di atas dilakukan di kalangan keluarga yang kaum wanitanya tidak terlibat dengan pekerjaan di luar rumah. Wanita dalam keluarga seperti ini tidak mempunyai pendapatan sendiri. Jadi mereka tidak bebas keluar rumah untuk membeli belah. Berbeza dengan wanita yang bekerja dan berpendapatan sendiri. Mereka bebas keluar dan berbelanja. Hal ini dibuktikan oleh kajian lain yang dibuat.

 

            Kajian yang dibuat oleh Fatimah Abdullah (1983) mendapati hanya 15% dari tugas membeli belah dilakukan oleh suami, 61% dari tugas yang sama telah dikongsi oleh suami dan isteri. Apa yang menarik ialah 20% dari tugas yang sama dibuat oleh isteri sahaja.

 

            Beliau berpendapat penyertaan para isteri bersama-sama dengan suami membeli belah barangan untuk keperluan famili seperti yang didapati dalam kajiannya menunjukkan ada perkongsian dari segi pendapat dan kuasa isteri dalam menentukan pemilihan bahan makanan dan barangan untuk famili. Apa yang lebih penting di sebalik penyertaan para isteri ini mungkin boleh dihubungkan dengan sumbangan dari segi kewangan yang diperolehi dari pekerjaannya di luar rumah.

 

            Beliau juga menyatakan bahawa kebebasan yang diperolehi oleh kaum wanita adalah hasil dari penglibatan wanita dalam pekerjaan. Wanita telah menjadi sebahagian daripada masyarakat pengguna. Oleh itu mereka berhak untuk membuat pilihan bersama suami dalam menentukan barangan yang diperlukan untuk kegunaan keluarga.

 

Fatimah menjelaskan kebanyakan kerja-kerja rumah dikongsi bersama oleh suami dan isteri kerana mereka tidak memiliki khidmat pembantu rumah. Penemuan yang beliau dapati menunjukkan bahawa paras penyertaan suami dalam tugas domestik merosot apabila pasangan mempunyai pembantu rumah[37].

 

            Dalam kajian beliau pada tahun 1994 pula, beliau mendapati ramai suami beranggapan bahawa memasak, membersih dan mengemas rumah bukanlah tugas penting yang harus dan semestinya dilakukan oleh isteri. Sebaliknya ramai yang berpendapat bahawa tugas tersebut perlu dikongsi bersama. Dengan itu suami juga memasak dan membasuh. Menurutnya hal ini sangat ketara di kalangan pasangan yang setahun dua berkahwin dan belum mempunyai anak.

 

Hal ini mungkin mempunyai hubungan dengan pelbagai faktor lain, antaranya pemisahan awal dari keluarga kerana melanjutkan pelajaran atau bekerja di tempat yang jauh dari ibu bapa. Kebanyakan suami telah pernah hidup sendiri atau bersama kawan-kawan sebelum berkahwin. Jadi mereka telah biasa dengan tugas-tugas mengemas rumah, mencuci pakaian dan memasak.

 

Selain daripada itu kehidupan yang jauh dari keluarga ekstended menjadikan keluarga nuklear bandar dapat bergerak bebas mengatur kehidupan tanpa kongkongan dan tekanan berhubung dengan siapa yang patut melakukan apa. Tegasnya suami juga boleh ke dapur atau menukar lampin anak. Isteri pula bebas membawa balik makanan yang dibeli atau menghantar pakaian untuk didobi. Dia tidak perlu mengemas rumah jika dia penat dan tidak ada masa. Tegasnya kebanyakan tugas mereka mengendalikan rumah tangga tidak lagi diperhatikan oleh ibu atau ibu mertua. Sebaliknya suami isteri bebas mengatur urusan rumah tangga mengikut keselesaan sendiri[38].

 

Melalui kajian ini juga beliau mendapati masih terdapat suami-suami yang tidak memberi sumbangan dalam membuat kerja rumah. Kebanyakan mereka ini terdiri daripada suami yang sentiasa sibuk dengan profesyen. Mereka juga beranggapan tidak salah jika tugas-tugas tersebut diupah kepada orang lain seperti pembantu rumah. Apa lagi mereka mempunyai wang untuk berbuat demikian. Pandangan yang sama juga diberikan oleh isteri yang bekerja. Kebanyakan mereka tidak mahu membebankan diri dengan urusan rumah tangga yang tidak pernah selesai. Bagi mereka apa salahnya makan di luar atau membeli makanan siap, mengupah orang lain mengemas rumah, menggosok pakaian dan membersihkan halaman[39].

 

Islam tidak menentukan siapa yang wajib melakukan tugas domestik. Cuma yang pasti isteri adalah pengurus rumah tangga suaminya. Yang penting urusan rumah tangga berjalan lancar walaupun isteri bekerja. Suami isteri patut saling membantu dalam mengurus rumah tangga. Rasulullah SAW juga selalu membantu isteri-isterinya ketika berada di rumah. Isteri bekerja juga membantu suami dari segi kewangan. Saling tolong menolong boleh mengeratkan kasih sayang suami isteri.

 

 

KEJAYAAN DALAM TUGAS DOMESTIK DAN KERJAYA

 

Kejayaan seorang wanita dalam melaksanakan tugas domestik dan kerjaya bergantung rapat kepada keyakian diri, sokongan dan kerjasama suami serta bantuan luar. Erniza (1998) dalam kajiannya menyimpulkan bahawa wanita yang berjaya dalam kerjaya ialah yang mempunyai paras keyakinan yang tinggi. Sokongan pegawai atasan tidak penting dalam mempastikan kejayaan di tempat kerja. Kejayaan dalam kerjaya semata-mata dan ganjaran gaji yang tinggi tidak dapat mengukur kebahagiaan wanita.

 

Beliau juga berpendapat kejayaan dalam kerjaya ialah yang diiringi dengan kejayaan peranan mereka sebagai isteri dan ibu yang baik untuk keluarga. Walaupun wanita Melayu ternyata ingin memasuki kerjaya-kerjaya yang dianggap dominasi lelaki namun mereka sedar yang komitmen mereka terhadap kerjaya ada batasan disebabkan oleh tanggung jawab mereka terhadap keluarga. Kejayaan wanita di rumah bergantung kepada bantuan suami dan bantuan luar yang diperolehi dalam membuat kerja rumah. Bantuan daripada suami dan bantuan luar yang digaji ternyata dapat meringankan beban isteri di rumah.

 

Menurutnya lagi tugas-tugas utama seorang wanita kini lebih cenderung memberi perhatian dan sokongan emosi yang sepenuhnya kepada suami dan anak-anak. Ini kerana tugas-tugas domestik yang utama kini diambil alih oleh bantuan-bantuan luar seperti penggunaan alat-alat bantuan rumah, pembelian makanan yang siap dimasak di luar, bantuan dari pembantu rumah yang digaji dan perkongsian tanggungjawab bersama-sama suami[40].

 

Mirrian (1992) berpendapat bahawa wanita bukanlah memandang kerja sebagai matlamat utamanya, tetapi ia hanya salah satu daripada keinginan untuk memenuhi keperluan sosialnya. Keadaan ini berlawanan dengan motivasi lelaki bekerja iaitu untuk memperolehi ganjaran atau nilai yang bersifat ekonomi, ganjaran kemasyhuran atau kebebasan dan mempertingkatkan martabat. Jadi laki-laki mengutamakan kemantapan kerja.

 

Kesimpulannya wanita dalam mana-mana masyarakat pun selalu diberi peluang untuk berkerjaya di samping tugas asasinya sebagai pengurus rumahtangga atau tugas domestik. Kejayaan seorang wanita di tempat kerja dan di rumah bergantung kepada sokongan fizikal dan emosi yang diperolehi daripada suami. Kejayaan peranan seorang isteri di rumah bergantung kepada pandangan dan sokongan suami. Sikap suami yang liberal dalam menilai peranan seorang isteri dan ibu membantu seorang wanita memainkan peranannya sebagai pengurus rumah tangga dengan lebih mudah. Seterusnya kejayaan sebagai pengurus rumah tangga yang baik berdasarkan nilaian yang diberikan oleh suami akan memudahkan wanita memberikan konsentrasi dan komitmen yang lebih kepada kerjayanya.

 

[1] Dr. Zaleha Kamaruddin (1997), “Emansipasi Wanita: Kontradiksi Antara Islam dan Barat”, Kertas Kerja Seminar Penghayatan Fiqh Wanita, Institut Pengajian Siswazah dan Penyelidikan, 15 dan 16 November 1997, h. 24.

[2] ‘Abd al-Rabb Nawwab al-Din (1986), ‘Amal al-Mar’ah wa Mawqif al-Islam Minh, al-Mansurah: Dar al-Wafa’, h. 151-160.

[3] ‘Abd al-Rabb Nawwab al-Din (1986), Op. Cit., h. 151-160.

[4] Ibid.

[5] Ibid.

[6] Ibid.

[7] Ibid.

[8] Ibid.

[9] Faisal Othman (1993), Kedudukan dan Peranan Wanita Dalam Islam, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributers Sdn. Bhd., h. 11.

[10] Ibid.

[11] Ibid.

[12] Tahia al-Ismail, terj. Siti Rujinah Sarnap (2001), Kehidupan Nabi Muhammad s.a.w, Perniagaan Zafar Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, h. 21.

[13] Clark, A. (1919) Working Life of Women in the Seventeenth Century, Routledge and Kegan Paul, London, h. 11.

[14] Michael, P. (1966), Housekeeping Among Malay Peasants, New York: The Anthlone Press, , h. 73.

[15] Shorter, E. (1976), “Women’s Work: What Difference Does Capitalism Make?”, Theory and Society, Vol. 3, No. 4.

[16] Fatimah Daud (1983), Socio-economic Problems of Women Workers, Ph.D. Thesis, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, h. 43.

[17] Marx, K., Kapital I (1930), Everyman’s Library, London, h. 10.

[18] Engels, F., “The Origin of the Family, Private Property and the State” (1961), Maxs Engles, Selected Work, London: Laurance & Wishart Ltd., h. 23.

[19] Williams, G.(1945), Women and Work, Nicholson and Watson, London, h. 46.

[20] Fatimah Daud (1983), Op. Cit, h. 45.

[21] Gales, K.E. and Marx, P.H. (1974), “Twenteeth Century Trends in the Work Women in England and Wales”, Royal Statistical Society, Journal, Series A, Vol. 137, h. 36.

[22] Hussien Ahmad (1964), Sejarah Tanah Melayu (1400-1963), Pustaka Aman Press, Kota Bharu, h.229.

[23] Erneza bt. Mohd. Talhah (1998), Wanita Profesional Melayu, Tesis Sarjana, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, h. 139.

[24] Khadijah, Muhamed (1969), Wanita Melayu dan Pekerjaan, (Tesis Sarjana), Kuala Lumpur: Universiti Malaya, 101.

[25] Khadijah binti Mohamed (1969), Wanita Melayu dan Pekerjaan, Disertasi Master, Fakulti Ekonomi, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, h. 78.

[26] Wazir Jahan Karim (1988), “Wanita, Keluarga dan Kerjaya”, Seminar Penyertaan dan Peranan Dalam Pembangunan Negeri Kedah, Kedah, 17-19 Jun, h. 9.

[27] Jamilah Ariffin (1992), Women and Devolopment in Malaysia, Petaling Jaya: Pelanduk Publication, h. 5.

[28] Fogarty, P.M. (1971), op. cit, h. 41.

[29] Fatimah Daud (1983), op. cit., h. 45.

[30] Mazidah bte Zakaria (1980), “Sikap dan Nilai Masyarakat Mengenai Peranan Wanita”, Dewan Masyarakat, Ogos 1980, h.17.

[31] Strange, H. (1981), Rural Malay Women in Tradition and Transition, t.p., New York, h. 227.

[32] Mohd. Noor bin Jais (1996), Eksekutif Wanita Melayu dan Pekerjaan di Sektor Korporat: Satu Analisis KonflikPeranan, (Disertasi Master Sains), Universiti, Universiti Putera Malaysia, h. 17.

[33] Aminah Ahmad (1995), Role Conflict and Coping Behaviour of Married Working Women, Pertanika: Journal of Social Science and Humanities, UPM: Serdang, Selangor, h. 97.

[34] Fatimah Abdullah (1994), Urbanisasi dan Kekeluargaan: Satu Kajian Kes Kelas Menengah Melayu Kuala Lumpur, (tesis Ph. D), Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, h. 255.

[35] Swift N. (1960), “Men and women’s in Malay Society”, Women in the New Asia, t.t.p UNESCO, h. 31.

[36] Roose H. (1963), “Changes in the Position of Malay Women”, Women in the New Asia, t.t.p: UNESCO, h. 55.

[37] Fatimah Abdullah (1983), Wanita Melayu dan Pekerjaan: Satu Analisis Konflik (tesis Sarjana), Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, h. 114.

[38] Fatimah Abdullah (1994), op. cit., h. 226.

[39] Ibid.

[40] Ibid.

 
-- TAMAT --