Jurnal KIAS
 
 
 JURNAL BILANGAN IX : MUHARRAM 1436H/NOVEMBER 2014M
 

 TAJUK : KEDUDUKAN ANAK TAK SAH TARAF DALAM SEJARAH AWAL
               ISLAM.

              
Oleh :
Mohd Azhar Abdullah & Muhammad Lukman bin Ibrahim

 

ABSTRAK :

Kertas ini menyorot kedudukan anak tak sah taraf dalam sejarah Islam, khususnya pada zaman Rasulullah SAW dan Khulafa al-Rasyidin RA. Perbincangan ini memakai metodologi historis bagi meneliti kronologi kes-kes dalam dua period tersebut. Umumnya kes-kes anak tidak sah taraf ini dibincangkan dalam bab nasab, kesalahan zina, anak angkat dan li'an. Daripada kes-kes yang dikumpulkan, gambaran akan ditumpukan kepada latar belakang kes dan pendekatan Islam menanganinya secara ringkas.


Pendahuluan

 

Isu kedudukan anak tak sah taraf bukanlah isu baru dalam perundangan Islam. Ini kerana Islam diwahyukan kepada Rasulullah SAW dalam kebejatan jahiliah yang mengandungi hikmat-hikmat yang khusus. Islam tampil mendepani keseluruhan isu-isu jahiliah dan menawarkan sistem kehidupan duniawi dan ukhrawi yang komprehensif.

 

Oleh hal yang demikian, Anak yang lahir daripada perzinaan, anak angkat dan anak pungut adalah salah satu isu daripada keseluruhan isu jahiliah yang ditangani secara berperingkat dan komprehensif sehingga kejahiliah itu berjaya dinyahkan dan disucikan. Umar RA menegaskan Islam tidak difahami bagi sesiapa yang tidak mengenali jahiliah.[1]

 

Artikel ini digarapkan sebagai salah satu usaha memahami latar belakang pensyariatan anak tak sah taraf daripada perspektif tadarruj fi al-tasyri'. Usaha ini diharap dapat menginterpretasikan secara jelas untuk memahami hikmat pembinaan syariah di samping melihat setiap isu dan menanganinya secara menyeluruh.

 

Maksud Anak Tak Sah Taraf

 

Anak tak saf taraf disebut juga dengan anak luar nikah atau anak zina dalam pertuturan umum. Namun, terdapat perbezaan kecil antara istilah anak tak sah taraf dengan anak luar nikah. Anak tak sah taraf adalah satu istilah khusus menurut perspektif perundangan, manakala anak luar nikah merujuk kepada perspektif fiqh.

 

Kebiasaannya, kesahan nasab atau keturunan seseorang anak yang dilahirkan dibahaskan dalam bab pensabitan nasab. Nasab ialah keturunan melalui pertalian darah yang sah menurut hukum syarak.[2] Untuk mengesahkan nasab mestilah seseorang itu lahir melalui akad perkahwinan yang sah. Dalam tempoh tersebut suaminya berupaya tinggal bersama sebagai suami isteri, berlalu dalam tempoh enam bulan dua lahzoh (detik) qamariah dari tarikh akad nikah mereka, perempuan melahirkan anak dalam keadaan suaminya berupaya melakukan persetubuhan dengannya, atau dalam tempoh empat tahun qamariah setelah dibubarkan perkahwinan sama ada melalui kematian suami, atau pencerian dan perempuan tersebut tidak berkahwin semula.[3]

 

Fatwa Kebangsaan memberi maksud anak tak sah taraf ialah anak yang dilahirkan di luar nikah tetapi bukan hasil daripada persetubuhan syubhah dan bukan daripada anak perhambaan.[4] Maksud persetubuhan syubhat ialah kerana salah anggap bahawa perkahwinan itu adalah sah atau persetubuhan melalui kesilapan dan termasuk mana-mana persetubuhan yang tidak dilarang oleh Had dalam Islam.[5]

 

Tidak sah taraf ini merujuk kepada status nasab dan kesan-kesan langsung yang berkaitan dengan kekeluargaan seperti hubungan mahram, nikah dan pusaka. Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.[6] Taraf anak tersebut tetap tidak sah dan tidak ada jalan yang membolehkan ia menjadi sah.[7]

 

Perlu ditegaskan bahawa kedudukan anak tak sah taraf sama sekali tidak menjejaskan hak-hak kemanusiaan seperti manusia yang lain dalam politik, sosial dan ekomoni seperti keagamaan, kewarganegaraan, pendidikan, perjawatan awam kerajaan, biasiswa dan lain-lain. Anak tak sah taraf tetap mulia dan disanjung jika berilmu, profesional dan bertaqwa.

 

Anak Sah Taraf Asal Zuriat Manusia

 

Sebelum dilanjutkan perbincangan mengenai anak tak sah taraf di zaman Rasulullah SAW dan Khulafa' al-Rasyidin, izinkan disentuh secara ringkas tentang sejarah anak tak sah taraf dalam syariat sebelum Islam. Ia bertujuan bagi memberikan interprestasi awalan bahawa anak tak sah taraf wujud daripada persetubuhan yang diharamkan dalam seluruh syariat para Nabi AS.

 

Sejarah awal perkembangan zuriat manusia di permukaan bumi ini bertolak daripada penciptaan pasangan pertama Nabi Adam A.S dan isterinya Hawa[8] seperti yang dijelaskan al-Quran surah al-Nisa', ayat 1. Menurut satu kenyataan yang dinukilkan oleh K. H. M Syafi'i Hadzmi bahawa Nabi Adam A.S dan Hawa dikahwinkan di dalam syurga. Allah SWT menjadi wali bagi Hawa dan disaksikan para malaikat.[9]

 

Ini menunjukkan bahawa perkahwinan yang memenuhi syarat-syarat nikah adalah asal kepada pembiakan zuriat dan generasi yang suci di dunia ini. Sehubungan itu, kita boleh membuat kesimpulan umum bahawa anak-anak Nabi Adam A.S semuanya dibinkan kepada Nabi Adam A.S seperti Nabi Syith A.S bin Adam, Qabil bin Adam A.S dan Habil bin Adam A.S[10] berdasarkan akad perkahwinan.

 

Kesucian anak sah taraf ini terus kekal melalui seluruh jalur silsilah zuriat para Nabi A.S yang bersambung dan dibinkan kepada Nabi Adam AS[11] sehinggalah Nabi Muhammad SAW. Dr. Muhammad Sa'id Ramadan al-Buti menegaskan:[12]

 

Allah SWT telah memilih Rasulullah SAW dari kabilah yang paling bersih, keturunan paling suci dan utama. Tidak sedikit pun dari karat-karat jahiliah menyusup ke dalam nasabnya.

 

Berdasarkan keterangan di atas anak-anak yang tak sah taraf sama ada melalui perzinaan, rogol, penafian nasab adalah kes-kes yang lahir daripada penyimpangan hidup yang luhur daripada syariah samawi.

 

Kedudukan Anak TAk Sah taraf Dalam Agama Terdahulu

 

Sejauh kajian penulis dalam sejarah ahli kitab tidak ditemui pertikaian tentang anak tak sah taraf secara spesifik.[13] Namun kita tidak dapat menafikan bahawa isu anak tak sah taraf wujud seiring dengan gejala hubungan luar nikah atau perzinaan yang berlaku dalam sejarah kehidupan manusia.[14] Hujah ini berdasarkan hukuman zina disyariatkan dalam kitab-kitab terdahulu, khususnya kitab Taurat, Zabur dan Injil.[15]

 

Satu kes menarik yang menjadi rujukan ulama fiqh ialah kisah seorang soleh daripada Bani Israil yang bernama Juraij telah difitnah mempunyai anak luar nikah hasil perzinaan dengan seorang perempuan yang jahat. Orang ramai membawa bayi yang baru dilahirkan oleh perempuan tersebut sebagai bukti terhadap tuduhan Juraij berzina dan menuntut dipertanggungjawab di atas bayi tersebut. Juraij meminta dibawa bayi kepadanya. Juraij solat dan berdoa kepada Allah SWT bagi melepaskan daripada fitnah zina. Kemudian Juraij menekan perut bayi sambil bertanya; Wahai bayi siapakah bapamu?. Bayi menjawab; "bapaku seorang pengembala kambing".[16]

 

Orang ramai akur dengan kebenaran hujah Juraij dengan melepaskannya daripada fitnah tersebut. Sayangnya dalam kes ini tidak dijelaskan secara lanjut isu berkaitan anak dibinkan kepada siapa untuk kita mengetahui syariah Bani Israil.

 

Ibn Hajar al-Asqalani memindahkan pandangan sebahagian ulama yang kemudiannya disokong Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim menjadikan kes Juraij ini sebagai dalil penerimaan kaedah pendakwaan seorang wanita tanpa suami mengenai nasab bayi yang dilahirkannya terhadap seseorang lelaki diterima sebagai keterangan yang mensabitkan nasab kepadanya, kecuali lelaki tersebut menafikan sebaliknya.[17] Imam al-Suyuti yang menyebutkan pandangan imam al-Nawawi;[18]

 

قَدْ يُقَالُ الزَّانِي لَا يَلْحَقُهُ الوَلَدَ وَالجَوَابُ لَعَّلَهُ كَانَ فِي شَرْعِهِم يَلْحَقُهُ

Terkadang dikatakan lelaki pezina tidak dinasabkannya kepada anak. (namun) jawapannya; moga ia dalam syariah mereka (terdahulu) anak dinasabkan kepadanya (lelaki pezina)

 

Berdasarkan pandangan di atas mengisyaratkan besar kemungkinan anak tak sah taraf dibinkan kepada lelaki pezina, kecuali jika ada penafian khusus daripada lelaki yang dituduh sebagai bapa itu, barulah bayi itu dibinkan kepada ibunya. Kaedah penyelesaian ini adalah sama dengan adat jahiliah yang menasabkan bayi kepada mana-mana lelaki yang berzina dengan ibunya.

 

Ini menunjukkan bahawa terdapat suatu panduan syariah agama terdahulu yang bukan sahaja menghukum kesalahan zina dengan sebatan atau rejam, tetapi juga menangani isu anak luar nikah dari sudut nasab, nafkah dan pusaka.

 

Kedudukan Anak Zina Pada Zaman Jahilah

 

Perzinaan pada zaman jahiliah berleluasa, walaupun saki baki agama Nabi Ibrahim di Jazirah Arab masih tersisa dalam beberapa bentuk amalan ritual, terutama haji, namun amalan Nabi Ibrahim telah didominasi oleh bidaah dan kesyirikan yang berasaskan hawa nafsu, sangkaan dan tradisi nenek moyang. Oleh yang demikian, kelahiran anak luar nikah daripada hubungan luar nikah itu sukar untuk dinafikan, sementelah perbuatan zina bukanlah suatu kesalahan jenayah moral yang berat pada zaman jahiliah.

 

Bagi meneliti kedudukan anak perzinaan pada zaman jahiliah Kita dapat meninjau bentuk-bentuk perhubungan lelaki dan perempuan di zaman tersebut. Aisyah RA meriwayatkan terdapat 4 bentuk perhubungan ini;[19]

 

  • Perhubungan dengan perkahwinan adat umum di mana lelaki berkahwin dengan seorang wanita menurut adat. Perkahwinan bentuk ini diteruskan Islam dan anak yang lahir daripada perkahwinan ini adalah sah tanpa pertikaian.

 

  • Perhubungan melalui perkahwinan al-Istibda: Suami berkata kepada isterinya yang suci daripada haid; "pergilah kepada si fulan dan bersetubuhlah dengannya". Suaminya tidak akan menyetubuhinya sehingga isterinya hamil. Anak yang lahir tersebut dibinkan kepada suaminya yang asal. Perkahwinan diterima masyarakat jahiliah kerana mahu mengambil keturunan atau kelebihan tertentu daripada lelaki tersebut. Anak yang lahir dinasabkan kepada suaminya yang asal walaupun ternyata perbuatan tersebut daripada bentuk perzinaan dalam Islam.

 

  • Perhubungan secara perkahwinan al-Raht. Sekumpulan lelaki kurang 10 orang berkahwin dengan seorang wanita. Apabila wanita itu hamil dan melahirkan anak, ia akan dibinkan menurut pilihan wanita secara mutlak. Kumpulan lelaki tidak mempunyai hak atau helah untuk menolak pemilihan yang ditentukan oleh ibu bayi tersebut.

 

  • Perhubungan secara pelacuran. Mana-mana lelaki boleh menyetubuhi seorang perempuan di mana ia mengikat cebisan kain di ambang pintu rumahnya sebagai tanda rumahnya terbuka untuk mana-mana lelaki. Anak yang lahir daripada pelacuran ini akan dibinkan kepada lelaki yang paling seiras dengan bayi.

 

Daripada gambaran-gambaran adat masyarakat jahiliah di atas terdapat tiga perkara untuk dikongsikan;

 

  1. Masyarakat jahiliah begitu prihatin dan bertanggung jawab terhadap penasaban anak kepada kaum lelaki dalam semua keadaan. Menurut adat jahiliah seorang bayi tidak dibinkan kepada ibunya atau kepada nama berhala kecuali dalam kes-kes yang khusus seperti anak pungut.

 

  1. Lelaki yang berzina tidak dapat melepaskan diri daripada tanggung jawab terhadap anaknya seperti penjagaan dan nafkah.

 

  1. Setiap anak yang lahir disahkan tarafnya menurut hukum jahiliah kepada mana-mana lelaki yang berzina dengan perempuan tersebut. Anak tersebut berhak mendapat nafkah, wali dan harta pusaka daripadanya. Ini berdasarkan hujah, pembatalan pusaka selepas datangnya Islam.[20]

 

 

Pensyariatan Anak Tak Sah Taraf Zaman Islam

 

Pensyariatan kedudukan anak tak sah taraf pada zaman Islam terbentuk berdasarkan hikmat al-tadarruj fi al-tasyri' di peringkat Mekah dan Madinah.

 

  • Anak Tak sah Taraf Peringkat Mekah

 

Dakwah Islam di peringkat Mekah tertumpu kepada persoalan-persoalan akidah bertujuan mengukuhkan asas-asas keimanan. Manakala hukum-hakam berkaitan syariah tidak diperundangkan di peringkat Mekah kecuali ibadat yang sangat khusus seperti solat lima waktu selepas peristiwa Isra' dan Mi'raj[21] dan solat Jumaat.[22]

 

Sehubungan itu, apa yang jelas daripada maklumat umum bahawa tidak timbul persoalan anak tak sah taraf di peringkat Mekah sehingga tahun-tahun terakhir sebelum hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Hukum-hakam berkaitan asas-asas sosial kemasyarakatan mula dibentuk pada tahun-tahun terakhir dakwah di Mekah sebagai persiapan pembentukan masyarakat Islam yang baru di Madinah termasuk pengharaman zina. Hal ini dibuktikan dalam isi perjanjian Aqabah I yang dimeterai di Mina pada tahun ke 12 yang menyebut:[23]

 

Ke marilah dan berbai'ahlah kamu denganku di atas tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu, kamu tidak mencuri, kamu tidak berzina, kamu tidak membunuh anak-anak, kamu tidak berdusta atas perkara kamu ada-adakan antara tangan dan kaki kamu, tidak mendurhakaiku dalam perkara makruf. Sesiapa di antara kamu yang menepatinya, maka pahalanya di sisi Allah, sesiapa yang mengambil sesuatu dari yang demikian itu, lalu diseksa di dunia, maka itu merupakan ampunan dosa baginya dan sesiapa yang mengambil sesuatu daripada yang demikian itu lalu ia menutupinya, maka urusannya diserahkan kepada Allah. Jika Dia menghendaki, Dia akan menyeksanya, jika ia menghendaki, Dia akan mengampuninya"

 

Berdasarkan isi perjanjian di atas pengharaman zina di peringkat permulaan di Mekah adalah berbentuk kesalahan dosa ukhrawi sahaja. Ini kerana peruntukan-peruntukan kepada implikasi-implikasi duniawi tidak dijelaskan secara terang sama ada hukum-hakam berkaitan nasab, nafkah dan mahram, apatah lagi undang-undang jenayah Islam.

 

  • Anak Tak Sah Taraf Peringkat Madinah

 

Pada peringkat Madinah barulah disyariatkan hukum-hakam berkaitan mualamat, jenayah, pusaka, perkahwinan, talaq, nafkah dan lain-lain.[24] Umumnya, pada peringkat awal, khususnya dua tahun pertama kerajaan Islam Madinah, pembentukan hukum-hakam adalah tertumpu kepada ibadat-ibadat asas dan pembinaan masyarakat Islam seperti puasa dan zakat fitrah pada tahun ke 2 H.

 

Manakala persoalan berkaitan anak tak sah taraf disyariatkan bermula peringkat pertengahan hijrah Rasulullah SAW yang disusunkan dalam tiga bahagian, iaitu pembatalan anak angkat, hudud dan li'an yang mencakupi kesahan taraf anak, hak pusaka, hubungan perkahwinan. Berdasarkan kes-kes yang dikaji menunjukkan bahawa hukum-hakam berkaitan anak tak sah taraf mula disyariatkan pada tahun ke 5 hijrah berikutan turunnya ayat membatalkan penasaban Zaid bin al-Harith kepada Muhammad SAW, kemudian diikuti pensyaritan hudud pada tahun ke 8 dan pensyaritan li'an pada tahun ke 9 H.

 

Persejarahan Kes-Kes Anak Tak Sah Taraf

 

Persejarahan tentang pertikaian anak tak sah taraf dapat diteliti dalam beberapa isu di bawah.

 

  • Anak Tak Sah Pertama Dalam Sejarah Islam

 

Tidak dapat dipastikan secara tepat berapa ramai anak tak sah taraf dalam sejarah awal Islam. Apa yang jelas daripada nukilan al-Minawi daripada al-Maziri bahawa Ziyad adalah anak tak sah taraf yang pertama dalam sejarah Islam yang dinasabkan kepada bapa Muawiyah. [25] Namun, pada pemerhatian penulis Ziyad bukan kes anak tak sah pertama dalam Islam kerana beliau dilahirkan selepas hijrah sedangkan terhadap kes terlebih awal iaitu pertikaian Sa'ad bin Abi Waqas dengan 'Abd bin Zam'ah di Mekah pada tahun ke 8 H mengenai kedudukan seorang anak melalui hubungan semasa jahiliah di Mekah.

 

Ziyad memiliki boidata hidup yang jelas. Panggilan asal beliau ialah Ziyad bin 'Ubaid al-Thaqafi. ' Ubaid adalah seorang hamba sahaya.[26] Ibunya bernama Samiyyah juga seorang hamba sahaya kepada al-Harith bin Kaldah. Hasil perhubungan antara dua hamba ini melahirkan seorang bayi yang dinamakan Ziyad.

 

Kerana itu pada peringkat awal Ziyad dinasabkan kepada ibunya "Ziyad bin Samiyyah" atau " Ziyad bin ‘Ubaid atau "Ziyad ibn Abih". ( زياد بن أبيه ) dan terkenal dengan kunyah (gelaran) Abu al-Mughirah. Dikatakan Ziyad memiliki kecerdikan dan kehebatan luar biasa, terutama dalam seni khutbah dan urusan siasah.

 

Pandangan pertama mengatakan beliau lahir sebelum hijrah, manakala pandangan kedua berpendapat pada hari perang Badar atau selepas hijrah. Pandangan kelahiran selepas hijrah lebih kuat. Walaupun demikian, Ziyad tidak dianggap sebagai "sahabat" dan tidak sempat meriwayatkan apa-apa hadith daripada Rasulullah SAW

 

            Umar RA melantiknya sebagai amir zakat di Basrah. Umar RA juga mengutuskannya ke Yaman untuk memulih keadaan yang tidak stabil di sana. Ziyad menyampaikan pidato di Yaman yang mengkagumkan manusia sehingga Amru bin al-As RA berkata; "Seandai beliau seorang Quraisy nescaya orang Arab akan patuh kepada tongkatnya ( kepimpinannya ). Abu Sufyan bin Harb RA pula berkata; "Aku tidak tahu apakah yang diletakkan oleh ibunya dalam rahim kandungannya".  

 

Segelintir yang lain melaporkan beliau dilantik sebagai penulis ( kerani ) bagi Abi Musa al-Asy‘ari RA. Ziyad terus diberikan jawatan pada zaman khalifah Ali RA di Farsi sehinggalah Mu'awiyah RA menjadi khalifah.

 

Muawiyah RA mengangkatnya sebagai gabenor di Kufah dan Basrah. Di samping itu, Muawiyah RA telah membuat pengakuan bahawa Ziyad adalah saudara kandungnya dan menghubungkan nasabnya dengan panggilan "Ziyad bin Abi Sufyan". Hal ini dikritik hebat oleh sahabat yang lain. Ziyad meninggal dunia pada umur 35 tahun pada tahun 53 Hijrah setelah menjadi gabenor di dua bandar tersebut.

 

Berdasarkan maklumat di atas memberikan satu panduan umum kepada kita memahami dalam usaha menangani kedudukan anak luar nikah;

 

  • Dibinkan kepada bapanya lebih utama daripada dibinkan kepada ibunya. Tiada catatan menunjukkan sahabat mencela atau membantah Ziyad yang dibinkan kepada bapanya, malah kadang kala dibinkan kepada ibunya. Para sahabat hanya mencela perbuatan Mu'awiyah RA yang membinkan Ziyad kepada Abi Sufyan. Athar ini boleh dijadikan pegangan yang konkrit bahawa anak zina boleh dibinkan kepada bapa zina apabila tidak dipertikaikan.

 

  • Anak zina diberikan kepercayaan dan kedudukan yang tinggi tanpa pilih kasih menurut kemampuannya. Mereka berhak diberikan peluang yang sama dan adil dengan anak sah taraf untuk memberi sumbangan dalam negara. Ini dapat dilihat tindakan Umar RA yang memilih Ziyad sebagai pemimpin menenangkan kekacauan di Yaman dan sahabat-sahabat memberikan pengiktirafan kepada beliau tanpa mempersoalkan keturunannya.

 

  • Pembatalan Anak Angkat

 

Pengambilan anak angkat menjadi adat tradisi orang Arab Jahiliah. Menurut amalan ini anak angkat akan dinasabkan kepada bapa angkat yang sekaligus menyebabkan anak angkat menerima hak-hak seperti seorang anak kandung sebenar.[27] Rasulullah SAW turut mengambil anak angkat bernama Zaid bin Harith RA bin Syurahbil bin Ka'ab (588-630 M) sebelum baginda dilantik menjadi rasul. Asalnya Zaid RA seorang hamba yang dihadiahkan oleh bapa saudara Khadijah RA. Khadijah menghadiahkan Zaid kepada Rasulullah SAW, kemudian baginda memerdekakannya.[28]

 

Keakraban hubungan antara Rasulullah SAW dengan Zaid RA menyebabkan kadang kala dipanggil dengan "Zaid bin Muhammad" dan memberikan hak pewarisan.[29] Adat ini terus berkekalan di permulaan Islam dan Islam memperbaiki sistem adat ini secara berperingkat di Madinah dengan penurunan ayat; [30]

$tBur Ÿ@yèy_ öNä.uä!$uŠÏã÷Šr& öNä.uä!$oYö/r& 4 öNä3Ï9ºsŒ Nä3ä9öqs% öNä3Ïdºuqøùr'Î/ (

 

Maksudnya: Dan jangan menjadikan anak-anak angkat kamu sebagai anak kandung kamu (sendiri). yang demikian itu hanyalah perkataan kamu dimulut kamu saja… -

Al-Ahzab: 4

 

Pembatalan sistem anak angkat ini diperkukuhkan lagi dengan Zaid RA diperintah menceraikan isterinya bernama Zainab binti Jahsyi RA. Setelah tamat tempoh iddahnya, Rasulullah SAW pula diperintahkan mengahwini Zainab RA yang pada awalnya menjadi menantu angkatnya.[31]

 

Berdasarkan daripada kes di atas menunjukkan bahawa al-Quran membatalkan penasaban anak kepada bapa angkat dan hubungan anak angkat. Anak angkat hakikatnya seorang yang yang tidak mempunyai apa-apa hubungan nasab keturunan dengan bapa angkat. Justeru itu, bermulalah penyusunan sistem penasaban seseorang anak wajib berdasarkan perkahwinan yang sah untuk melayakkan dia dibinkan kepada bapanya dan mewarisi pusakanya.

 

Islam mula menyusun sistem kekeluargaan, termasuk nasab, nafkah dan pewarisan anak tidak sah taraf pada tahun ke 5 hijrah. Ini kerana, perang al-Ahzab berlaku pada bulan Syawwal tahun ke tahun ke 5 hijrah, walaupun satu riwayat lagi mengatakan tahun ke 4 hijrah. Berdasarkan fakta ini ulama berpendapat pembatalan anak angkat jahiliah dan perkahwinan Rasulullah SAW dengan Zainab RA berlangsung pada tahun ke 5 hijrah ketika umur Zainab RA 35 tahun.

 

  • Kes Li'an

 

Li'an bermaksud suami menuduh isterinya berzina atau penafian nasab sedangkan suami tidak mempunyai saksi mencukupi. Kes ini mempunyai kesan langsung terhadap status anak.[32]

 

Syeikh Muhamad al-Khudri dalam bukunya al-Tasyri' al-Islami menjelaskan pensyariatan li'an berlaku pada tahun ke 9 H. Ini bermakna pensyariatan li'an dilengkapkan untuk memelihara keturunan setelah disyariatkan hudud terlebih dahulu pada tahun ke 8 H.

 

Ibn Kathir[33] menukilkan bahawa kes ini berlaku berikutan penurunan surah al-Nur ayat 6 hingga ayat 9 tatkala Hilal bin Umaiyyah menuduh Syarik bin Samha' telah berzina dengan isterinya. Hilal dan isterinya melakukan li'an seperti yang diarahkan al-Quran di hadapan Rasulullah SAW Setelah Hilal dan isterinya selesai melakukan li'an, Rasulullah SAW terus menjatuhkan hukuman bahawa perkahwinan tersebut telah tercerai dan penafian nasab kepada bapa (Hilal RA) tetapi dinasabkan kepada ibunya.[34] Imam Ahmad meriwayatkan;[35]

 

قَضَى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فِى وَلَدِ الْمُتَلاَعِنَيْنِ أَنَّهُ يَرِثُ أُمَّهُ وَتَرِثَهُ أُمُّهُ وَمَنْ قَفَاهَا بِهِ جُلِدَ ثَمَانِينَ وَمَنْ دَعَاهُ وَلَدَ زِنَا جُلِدَ ثَمَانِينَ.

 

Maksudnya: Rasulullah SAW memutuskan anak li'an bahawa ia mewarisi pusaka ibunya dan ibunya mewarisi harta pusakanya, sesiapa menuduh ibunya dengan anaknya itu akan disebat (qazaf) 80 sebatan, dan sesiapa yang memanggilnya dengan anak zina akan disebat 80 sebatan.

 

Antara isu yang menarik terhadap kes di atas ialah;

 

  • Hubungan nasab kepada suami semasa akan terputus sama sekali dengan sebab li'an. Selagi penafian secara li'an tidak dibuat sedang bayi dilahirkan dalam akad perkahwinan yang sah, anak tetap dinasabkan kepada bapa semasa.

 

  • Anak li'an tidak akan dibinkan kepada lelaki yang membuat li'an dalam mana-mana keadaan kerana tujuan li'an menafikan nasab anak kepada diri seseorang. Sayyid Sabiq berpendapat anak li'an dibinkan kepada ibunya.[36]

 

  • Li'an suatu penyucian syarak. Ibu dan anak tersebut adalah suci dan bebas daripada sebarang prejudis sehingga sesiapa yang mengaitkan mereka dengan perzinaan boleh dihukum qazaf. Ikramah RA melaporkan bahawa anak yang dinafikan oleh Hilal RA dalam kes lian tersebut menjadi seorang yang berkaliber dan diberikan kepimpinan di Mesir. Hal ini menangkis prejudis sesetengah masyarakat terhadap kewibawaan anak tidak sah taraf.[37]

 

  • Kes Hudud

 

Apa yang dapat difahami ialah kes pertikian anak luar nikah berbangkit selepas zina diharamkan. Namun, pengharaman zina telah disyariatkan pada peringkat Mekah pada tahun ke 10 kenabian tanpa disertai hukuman hudud kerana hudud disyariatkan pada tahun ke 8 H.

 

Kes yang paling jelas boleh dijadikan rujukan ialah kes seorang wanita al-Ghamidiyyah yang telah berkahwin yang membuat pengakuan berzina padahal ia sedang mengandung. Rasulullah SAW menjatuhkan hukuman direjam. Namun hukuman rejam tersebut ditangguhkan selepas ia melahirkan anak. Selepas ia melahirkan anak ia membawa anaknya tetapi baginda menangguh hukuman sehingga ia melepaskan susuannya. Setelah lebih kurang anak tersebut dua tahun, perempuan membawa anaknya dengan secebis roti yang disuapkan ke mulut anaknya untuk membuktikan bahawa anaknya telah dilepaskan susuan. Sebelum hukuman rejam dilaksanakan Rasulullah SAW terlebih dahulu menyerahkan anak tersebut kepada seorang sahabat sebagai penjaga.[38]

 

Dalam kitab-kitab syarah hadith hanya melaporkan hal-hal di atas tanpa mendatangkan huraian lanjut berkaitan kedudukan anak tersebut dibinkan kepada siapa. Oleh itu penulis membuat andaian bahawa bayi tersebut dibinkan kepada ibunya kerana tiada pengakuan yang dibuat oleh lelaki yang berzina dengan wanita tersebut.

 

  • Pertikaian Kesahan Anak Zaman Jahiliah.

 

Seperti yang dimaklumi kedatangan Islam didahului jahiliah yang menyimpang daripada syariah samawi. Ini menyebabkan syariah Islam tidak dapat lari daripada penyelesian isu-isu jahiliah. Antara isu yang ditangani Islam ialah anak-anak yang dilahirkan hasil perhubungan pada zaman jahiliah setelah mereka memeluk Islam.

 

Secara umumnya, terdapat beberapa kes yang dilaporkan. Namun, pertikaian tersebut tidak dapat membantu penulis mengetahui tarikh secara jelas kerana riwayat hadith menunjukkan lafaz-lafaz umum.

 

Antara kes pertikaian kesahan taraf anak disaksikan dalam hadith riwayat Abi Dawud di mana seorang lelaki bangun dan berkata; Wahai Rasulullah sesungguhnya di fulan adalah anak hasil perzinaanku dengan hamba semasa jahiliah. Lantas Rasulullah SAW bersabda[39]

 

لاَ دَعْوَةَ فِى الإِسْلاَمِ ذَهَبَ أَمْرُ الْجَاهِلِيَّةِ الْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ

 

Maksudnya: Tiada pengakuan anak dalam Islam, urusan jahiliah telah berlalu, anak adalah untuk pemilik tilam (suami yang sah ) untuk pezina telah terhalang.

 

Daripada kes di atas, pengakuan zaman jahiliah terhadap kesahan anak tidak dijadikan bukti sebaliknya anak dibinkan kepada suami yang dalam akad yang sah.

 

Kes kedua ialah pertikaian antara Sa'ad bin Abi Waqas dengan 'Abd bin Zam'ah. Sa'ad berkata; saudaraku Utbah berpesan kepadaku tatkala sampai di Mekah mendapatkan anak hamba Zam'ah kerana ia adalah anaknya (Utbah). Tetapi 'Abd bin Zam'ah berkata anak itu adalah saudaranya daripada hasil perhubungan bapaku dengan hambanya. Rasulullah berkata: "Ia adalah saudaramu wahai 'Abd bin Zam'ah" Kemudian baginda berkata; "Anak milik tuan tilam (suami) dan pezina terhalang" [40] Kes pertikaian ini dicatatkan tahun ke 8 H ketika pembukaan kota Mekah.[41]

 

Daripada dua kes di atas menunjukkan beberapa panduan;

 

  • Kes yang berlaku di zaman jahiliah tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa ada sebarang jawapan putus daripada syarak setelah datangnya bukti-bukti kerana ia berkaitan nafkah, pusaka dan nasab.

 

  • Akad perkahwinan lebih meyakinkan dan lebih kuat daripada petunjuk kemiripan yang bersifat zann. Walaupun kanak-kanak tersebut lebih mirip kepada Sa'ad RA namun oleh kerana hakikat perkahwinan lebih menyakinkan maka dihukumkan anak adalah milik perkahwinan.

 

  • Dakwaan Sa'ad bin Abi Waqas RA dan Utbah RA perlu diberikan perhatian mendalam kerana tentunya Sa'ad RA dan Utbah RA sedar bahawa anak tersebut daripada hubungan tidak sah kerana anak itu lahir daripada perhubungan hamba perempuan milik Zam'ah. Oleh itu kita boleh membuat dua andaian terhadap tuntutan Sa'ad RA dan Utbah RA seperti mana di bawah:

 

  • Tuntutan berdasarkan amalan jahiliah disebabkan kes seumpama ini belum disyariahkan. Ini berdasarkan fakta;

 

كَانُوا فِي الجَاهِلِيَّةِ يَضْرِبُونَ عَلى الإِمَاءِ ضَرَائِبَ يَكْتَسِبْنَهَا مِن فُجُورِهِنَّ، وَيَلَحَقُونَ الوَلَدَ بِالزِّانِي إِذَا ادَعَاهُ

 

Maksudnya: Orang-orang jahiliah melacurkan hamba-hamba perempuan dengan mengambil upah daripada kerja-kerja pelacuran dan mereka menasabkan anak kepada lelaki pezina jika ia dituntut.

 

  • Hukum penasaban telah disyariahkan secara umum tetapi tidak disyariahkan bagi mereka yang belum berkahwin. Dengan itu, anak boleh dinasabkan kepada lelaki yang berzina jika perempuan tersebut tiada suami.

 

Daripada dua andaian di atas, pendekatan (a) lebih kuat kerana tuntutan Utbah RA dan Sa'ad berdasarkan amalan jahiliah disebabkan belum disyariahkan secara jelas dalam kes seumpama itu. Hujah ini dikuatkan juga dengan sabda Rasulullah SAW dalam riwayat Abi Dawud yang sebelumnya yang menjelaskan "tiada lagi tuntutan pada zaman jahiliah" yang boleh membawa maksud pembatalan amalan jahiliah. Di samping itu, kedua-dua hadith di atas saling mengukuh antara satu sama lain.

 

Pertikaian Anak Tak Sah Taraf Zaman Khulafa al-RASHIDIN

 

Dalam permulaan era Khulafa al-Rasyidin, terutama zaman Abu Bakar RA penulis tidak menemui pertikaian status kesahan anak.

 

Tetapi pada zaman Umar RA terdapat dua kes yang menjadi rujukan utama dan kajian ulama. Kes pertama, dua lelaki berselisih kerana saling mendakwa nasab seorang kanak-kanak hasil persetubuhan zaman jahiliah kepada khalifah Umar RA. Umar memerintah supaya dipanggil saudara lelaki bani Mustaliq. Setelah lelaki itu datang, Umar menyuruhnya supaya memerhati di antara kedua lelaki yang mendakwa itu siapakah yang paling layak berdasarkan pengecaman kemiripan kanak-kanak. Lelaki itu menjawab; kedua-duanya bersekutu ( sama mirip ). Umar RA berkata; "matamu telah terkeliru!". Umar RA bangun dan memerintah supaya ibu bayi tersebut berjumpa dengannya.

 

Umar RA bertanya kepada ibu kanak-kanak; "bayi ini anak siapa di antara dua lelaki ini". Ibu menjawab; "bayi ini anak lelaki ini". Beliau menyetubuhi aku dan aku bersamanya sehingga aku hamil. Kemudian ia membiarkan aku sehingga aku melahirkan anak-anak daripadanya. Kemudian dia mendatangi aku dan aku hamil, tetapi aku keluar darah ( seperti keguguran ) sehingga aku menduga tiada apa-apa lagi dalam rahimku. Kemudian datang lelaki yang satu lagi menyetubuhi aku dan hamil daripadanya. Lalu Umar RA bertanya; "adakah engkau mengetahui yang mana satukah bapanya". Perempuan itu menjawab; "aku tidak pastikan di antara keduanya". Lalu Umar RA memutuskan; "wahai kanak-kanak, engkau pilihlah salah seorang daripada dua lelaki ini" Kanak-kanak itu memegang tangan salah seorang daripada dua lelaki tersebut lalu beredar.[42]

 

Daripada fakta kes di atas menunjukkan bahawa hubungan haram itu berlaku di zaman jahiliah. Menurut amalan jahiliah wanita yang diceraikan tidak mempunyai iddah yang menyebabkan ibu itu terus melakukan persetubuhan dengan lelaki kedua setelah ditinggalkan lelaki pertama. Mereka mempertikaikan setelah berlalu beberapa tahun, iaitu setelah umur kanak-kanak ini telah remaja. Satu pendekatan siasah syari'iyyah[43] yang diambil Umar RA ialah beliau berusaha menyelesaikan kes tuntutan ini dan tidak membiarkan tuntutan itu berlarutan dalam jangka masa yang panjang. Sikap Umar RA ini perlu dicontohi pihak berwajib kerana melengahkan tuntutan membawa kemudaratan kepada pihak-pihak bertikai.

 

Manakala kes dua ini terdapat beberapa nukilan yang berbeza-beza tetapi jalan cerita adalah hampir sama, iaitu dua lelaki telah menyetubuhi seorang perempuan dalam tempoh suci yang sama. Umar RA memutuskan anak tersebut dinasabkan kepada salah seorang daripadanya berdasarkan kemiripan dan dan berhak mendapat pusaka yang saling mewarisi.[44]

 

Kes seumpama ini diadukan juga kepada Ali RA. dan Abi Musa al-Asya'ari RA dan mereka berdua memutuskan berdasarkan al-Qafah.[45]

 

Kesimpulan dan Cadangan

 

Anak yang tidak sah taraf telah ditangani oleh Islam sejak permulaan lagi dengan pendekatan yang adil. Setiap isu yang berbangkit diberikan penyelesian yang segera sehingga meleraikan ketidakpuasan pihak penuntut dalam semua hal-hal yang bersangkutan sama ada nasab, nafkah, pusaka dan peranannya dalam masyarakat. Para sahabat RA memberikan kepercayaan yang tinggi kepada anak tak sah taraf menurut kewibawaannya dalam kepimpinan.

 

Anak dan ibu yang melakukan li'an telah menyucikan dirinya daripada segala pertuduhan sehingga sesiapa yang menuduhkan mereka dengan perzinaan selepas mereka melakukan lian boleh disabitkan hukuman qazaf.

 

Penasaban anak tak sah taraf khusus dalam kes zina adalah termasuk dalam hukum khilafiyah dan ijtihadiyyah. Ini kerana kes Ziyad bin Ubaih atau Abih adalah kes yang paling kuat membuktikan bahawa anak zina dalam kes tertentu boleh dibinkan kepada bapa pezina.  

 

Umumnya, ulama berselisih pandangan kepada tiga pihak. Jumhur tidak boleh dinasabkan kepada bapa zina tetapi dinasabkan kepada ibunya. Manakala dalam kitab 'Awn al-Ma'bud menukilkan sebahagian kecil mengatakan tidak dinasabkan kepada sesiapa tetapi dinasabkan kepada nama-nama-nama Allah SWT kerana semua makhluk milik Allah SWT.[46]

 

Pada pandangan penulis anak zina lebih tepat dibinkan sama ada dibinkan kepada ibu atau bapa pezina hendaklah mengambil kira kemaslahatan dan kemafsadan yang menyeluruh. Pihak pemerintah mempunyai ruang-ruang yang cukup untuk melakukan ijtihad dari masa ke semasa menilai keadilan objektif hukum menurut tuntutan zaman dan persekitaran.

 

Jika dibinkan kepada ibunya ia adalah selaras dengan pensabitan hubungan darah dengan ibunya dan saling mewarisi antara satu sama lain. Keluhan masyarakat yang selalu membangkitkan moral anak tersebut akan terganggu jika dibinkan kepada ibu sebagai anak tak sah taraf adalah isu sampingan berpunca daripada kekeliruan dan prejudis masyarakat, sedangkan dalam sejarah awal Islam anak tak sah taraf diberikan kedudukan yang selayaknya.

 

Jika dibinkan kepada bapa zina disebabkan ia berkahwin dengan lelaki yang berzina dengan perempuan tersebut sehingga melahirkan anak secara tidak syarak, maka ia adalah selaras dengan perbuatan perzinaannya yang perlu dipertanggungjawabkan kerana hakikatnya anak itu lahir daripada sulbinya. Ini sekaligus langkah sadd al-Zara'i (menutup pintu-pintu kemungkaran) dari satu sudut yang lain kerana ia langkah-langkah menyekat daripada helah dan tipu daya lelaki yang tidak bertanggung jawab yang berzina tetapi melepaskan diri daripada keseluruhan tanggung jawabnya. Ini juga meredakan ketidakpuasan banyak pihak, khususnya pihak perempuan dan keluarga perempuan yang terpaksa memikul seorang diri terhadap zina tersebut dalam pendidikan, nafkah dan pemeliharaan anak zina, sedangkan lelaki zina tidak dipertanggungjawabkan apa-apa disebabkan perzinaannya.

 

Tidak dinafikan juga ia akan menimbulkan kesan negatif di mana pemuda pemudi terdedah kepada perzinaan sebelum akad nikah seperti di Barat kerana ia tetap akan dibinkan kepadanya walaupun berzina. Oleh itu kajian yang menyeluruh dan mendalam perlu dibuat bagi memastikan kemaslahatan semasa dalam isu ini bagi menyakinkan pihak berwajib menetapkan keputusan yang perlu diambil.

 

 

[1] Lihat, Fatawa al-Syabakah al-Islamiyyah, 25 Rabi' al-Awwal 1422.

[2] Seksyen 2, Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam, Terengganu 1985.

[3] Bekas suami boleh menafikan anak yang dilahirkan selepas ia bercerai dengan isterinya dalam tempoh 4 tahun melalui li'an di Mahkamah Syariah. Ini bermakna ia tidak melakukan lian, maka anak tersebut terus dinasabkan kepadanya kerana tidak wujud penafian nasab melalui li'an.

[4] Fatwa Kebangsaan, kali ke 57, 10 Jun 2003.

[5] Profesor Mimi Kamariah Majdi (1992), Undang-Undang Keluarga di Malaysia, h. 114, Butterworts Asia, Malaysia.

[6] Fatwa Kebangsaan. Op.Cit.

[7] Profesor Mimi Kamariah Majdi (1992), Op.Cit.

[8] Al-Tabari (tt.), Jami' al-Bayan 'an Ta'wil Ay al-Qur'an, j. 3, h. 565. Ibn Kathir (tt.), Tafsir Ibn Kathir, j. 1, h. 596, Dar al-Fikr.

[9] Lihat, Syeikh K.H.M. Syafi'i Hadzmi (1988), 100 Soal Jawab Agama, h. 3. Kuala Lumpur, Victory Agencie.

[10] Lihat, Ibn Kathir (1993), al-Bidayah wa al-Nihayah, j. 1, h. 107. Bayrut, Dar Ihya' al-Turath al-'Arabi.

[11] Lihat, Sa'ad Yusuf Abu Aziz (1999), Qasas al-Anbiya': Durus wa Ibar, Dar al-Fajr lil Turath, Kaherah, dan: ‘Abd al-Wahhab al-Najjar (tt.), Qasas al-Anbiya', Bayrut: Dar Ihya' al-Turath al-'Arabi.

[12] Muhammad Sa'id Ramadan al-Buti (tt.), Fiqh al-Sirah, h. 37, Dar al-Fikr, Bayrut.

[13] Dalam kitab-kitab kepercayaan Kristian dan Yahudi hari ini seperti Deuteromony 23:2, Hebrews 12;8, Galatians 5: 19-21 tidak secara langsung menyentuh isu anak tak sah taraf sama ada dibinkan kepada siapa atau juga pewarisan serta nafkahnya. Umumnya catatan dalam Old Testament tidak mengiktiraf anak luar nikah. Tetapi New Testament mengiktirafkannya bila 1 Corinthians 5, Paul berkata; "tidak kisah siapa kita semasa lahir yang kepercayaan kepada Jesus".

[14] Kenyataan ini disokong berdasarkan kes seorang lelaki dan seorang perempuan berbangsa Yahudi dibawa ke hadapan Rasulullah s.a. atas tuduhan berzina. Rasulullah s.a.w. bersabda; Tidakkah hukumnya adalah rejam seperti yang terdapat dalam Taurat kamu!. Orang Yahudi cuba menafikannya dengan mengatakan hukumannya adalah sebatan. Tetapi Abdullah bin Salam seorang ahli kitab yang telah memeluk Islam mencelah bahawa mereka telah berdusta. Lalu dibawakan kitab Taurat dan dibacakan, tetapi tatkala sampai pada ayat rejam pembaca menutupnya dengan tangan. Abdullah bin Salam berkata; "Angkat tanganmu". Apabila tangan pembaca itu diangkat mereka melihat ayat tersebut adalah ayat rejam dan mereka berkata; "Benarlah Muhammad. Lihat, Ibn Hajar (1379H), Fath al-Bari, j. 12, h. 169, Bayrut, Dar al-Ma'rifah.  

[15] Temubual dengan Ustaz Farhan bin Abdullah al-Hafiz, pada 29 Jun 2011. Sebelum Islam, ustaz Farhan bergelar Paster Yohanes, anak kepada seorang ketua paderi kepada 15 buah gereja. Beliau pernah mengikuti latihan ketua mubaligh Kristian selama dua tahun dengan melibatkan diri secara aktif aktiviti dakyah Kristian sebelum melanjutkan pengajian menguasai bahasa Ibrani di Bandung, Indonesia. Beliau telah memeluk Islam pada 26 Februari 1990 di Pusat Latihan Dakwah Keningau, Sabah. Beliau berhijrah ke semenanjung untuk mendalami Islam dan menuntut Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di Kuala Lumpur. Sebelum belajar agama di Perkim Pengkalan Chepa Kelantan (1991-1993), Nilam Puri (1994) Pondok (1995), mengambil Diploma Tahfizul Quran di Pusat Islam (1996-1998) dan pada 2000 hingga 2003 berada di Shoubra al-Azhar, Mesir dalam jurusan al-Quran dan Qiraat.

[16] Lihat, Sahih Muslim : 8. Musnad Ahmad: 8057. Sahih Ibn Hibban: 6489.

[17] Ibn Hajar al-Asqalani (1379 H), Fath al-Bari 'ala Syarh Sahih Muslim, j. 6, h. 482. Dar al-Ma'rifah, Bayrut. 'Umdah al-Qari, . j. 16, h. 31. Lihat juga, http://islamselect.net/mat/84814. Akses: 4 Julai 2012.

[18] Al-Sayuti (tt.), al-Dibaj Syarh sahih Muslim, j. 5, h. 498.

 

[19] Ibn Hajar al-Asqalani (1379 H), j. 9, h. 185, Op.Cit. 'Umdah al-Qari, j. 20, h. 122, Op. Cit. Lihat, Sayyid Sabiq (1990), Fiqh al-Sunnah, j. 2, h. 122, Dar al-Fath, Kaherah.

[20] Al-Tarmizi membuat satu subtajuk "Membatalkan pusaka anak zina". Ini menunjukkan amalan jahiliah memberikan pusaka kepada anak zina yang dibinkan kepada lelaki penzina kemudian datangnya Islam mengharamkan pusaka tersebut. Lihat, al-Tarmizi (tt.), Tuhfah al-Ahwazi, j. 6, h. 248, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Bayrut.

[21] Muhammad Ali al-Sayis (t.t), Tarikh al-Fiqh al-Islami, h. 12. Kaherah: Maktabah wa Matba'ah Muhammad Ali Subaih wa Awladih.

[22] Menurut pandangan yang sahih bahawa solat Jumaat disyariatkan di Mekah, tetapi Rasulullah s.a.w tidak mendirikannya di Mekah kerana penentangan penduduk Mekah yang keras. Baginda mengutus surat kepada Mus'ab bin Umair yang dilantik menjadi mubaligh di Madinah supaya mendirikan solat Jumaat. Mus'ab berjaya mendirikan solat Jumaat dengan meminta kerjasama seorang tua daripada Ansar bernama al-Zararah mengumpulkan muslimin di Madinah. Lihat, al-Syihab al-Din Qalyubi (tt.), Qalyubi wa Umairah, j. 1. h. 268, Dar Ihya' al-Kutub al-Ilmiyyah, Kaherah. Sulaiman al-Bujairimi (tt.), al-Bujairimi al al-Khatib, j. 1, h. 162, Dar al-Fikr.

[23] Lihat: Muhammad Sa'id Ramadan al-Buti (tt.), Op.Cit., h. 120.

[24] Muhammad Ali al-Sayis( (tt.), Op.Cit., h. 13-14.

[25] Al-Minawi (1356H), al-Faid al-Qadir 'ala Syarh al-Jami' al-Saghir, j. 6, h. 377. Mesir: Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabi.

[26] Lihat, Ibn Athir (tt.) Asad al-Ghabah, j.1, h. 389. Muhammad Ibn Syakir al-Katbi (1974), Fawat al-Wafiyat, j. 2, h. 31, Tahqiq; Ihsan 'Abbas. Bayrut: Dar Sadir.

 

[27] Lihat: Syeikh Hasan Ma'mun, Fatawa al-Azhar, Mei 1957.

[28] Lihat: Ibn Hisyam (1998 ), al-Sirah al-Nabawiyyah, j. 1, Dar al-Fikr, h. 150.

[29] Al-Qurtubi (tt.), al-Jami' li Ahkam al-Qur'an, j. 14, h. 166, t. tempat.

[30] Ibn Kathir (tt.) Tafsir al-Qur'an al-Azim, j. 3, h. 615. t. tempat.

[31] Ibid., Ibn Kathir, j. 3, h. 647.

[32] Al-Khatib al-Syarbini, Mughni al-Muhtaj, j. 3, h. 367.

[33] Lihat Ibn Kathir (tt.), Op.Cit., j. 3, h. 355 – 358.

[34] Al-San‘ani (tt.), Subul al-Salam, h. 1, h. 166. al-Syawkani (tt.), Nil al-Awtar, j. 7, h. 35, ta'liq: Muhammad Munir, Maktabah al-Taba'ah al-Muniriyyah.

[35] Musnad Ahmad: 7028. Kedudukan hadith ini daif.

[36] Sayyid Sabiq (1990), Fiqh Sunnah, j. 2, h. 422. Kaherah: Dar al-Fath li al-'Ilam al-'Arabi.

[37] Ibn Kathir (tt.), Op.Cit.

[38] Ibn 'Abd al-Birr, al- Tamhid lil Ma fi la-Muwatta', j. 24, h. 132, Tahqiq: Mustafa bin Ahmad al-'Ulwi, Wuzara' 'Umum al-Awqaf wa al-Su'un al-Islamiyyah, Maghrib. Abd al-Qadir Awdah, Op.Cit., j. 2, h. 450.

[39] Sunan Abi Dawud: 2274: Al-Albani mengatakan hadith ini Hasan Sahih.

[40] Sahih al-Bukhari: 1948.

[41] Imam Malik (tt.), Muwatta' al-Imam Malik, j. 2, h. 739, tahqiq: Muhammad Fu'ad 'Abd al-Baqi. Mesir: Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabi. Sunan Abi Dawud: 2273. Al-Albani mengatakan hadith ini sahih.

[42] Ibn Qayyim (1996), al-Turuq al-Hukmiyyah, h, 257-258. Mekah, Maktabah al-Tijarah.

[43] Ibn Aqil mendefinisikan siasah syar'iyyah ialah tindakan (pemerintah) yang mendekatkan manusia bersamanya kepada kebaikan dan menghindarkan mereka daripada kemusnahan walaupun tindakan tersebut tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan tidak turun wahyu tentangnya. Ibn Farhun pula menjelaskan kaedah pentadbiran untuk menjamin maqasid syar'iyyah.

[44] Ibn Qayyim, Op.Cit, h. 258.

[45] Al-Qafah ialah seseorang yang dihubungkan nasabnya dengan sebab kemiripan kepada pihak lelaki sama ada ayah atau saudaranya. Lihat, Muhammad Syams al-Haqq al-'Azim Abadi (1415 H), 'Awn al-Ma'bud, j 6, h. 255, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Bayrut.

[46] Abd al-Muhsan al-'Ibad, Syarh Abi Dawud, j. 12, h. 101.

 
-- TAMAT --